
JAKARTA: Indonesia perketat kawalan keselamatan di bandar Wamena di rantau paling timur di Papua, selepas 10 orang terbunuh semasa satu rusuhan yang tercetus gara-gara khabar angin yang mengatakan seorang kanak-kanak diculik, kata seorang pegawai pada Jumaat lalu.
Lebih 200 orang anggota pasukan keselamatan, termasuk polis dan tentera, telah dikerahkan bagi mengawal keadaan selepas lebih 20 orang lagi dikatakan cedera dalam kejadian yang berlaku pada Khamis lalu itu, kata polis.
"Keadaan telah terkendali tetapi terus dipantau," kata jurucakap polis Papua, Encik Ignatius Benny Ady Prabowo, dalam satu kenyataannya.
Rusuhan meletus selepas beberapa orang penduduk setempat, marah gara-gara ada berita yang mengatakan seorang kanak-kanak diculik, mula melontar batu ke arah balai polis Wamena, di mana seorang lelaki ditahan di situ, yang didakwa menculik kanak-kanak berusia enam tahun.
Polis memanggil kedua-dua orang tua kanak-kanak itu bagi memastikan keselamatan mereka, tetapi itu tidak dapat mengekang keganasan.
Beberapa bangunan telah dibakar di kawasan tersebut, ujar jurucakap polis.
Anggota pasukan keselamatan bertindak dengan melepaskan tembakan, mengakibatkan 10 orang terbunuh dan 23 yang lain cedera, kata Encik Benny.
Amnesty Antarabangsa di Indonesia, menyeru supaya dijalankan siasatan, dengan mengatakan bahawa kematian orang awam "dan juga penggunaan kuasa secara berlebihan oleh pihak berkuasa" amat dikesalkan.
Ketua polis Papua, meminta maaf atas kematian yang berlaku itu.
Ketegangan memuncak di Papua, salah satu bahagian paling miskin di negara itu, berikutan kumpulan pemisah menculik seorang juruterbang warga New Zealand.
Pihak tentera Indonesia berkata, mereka bersedia untuk melaksanakan "operasi penguatkuasaan undang-undang" sebagai langkah terakhir untuk membebaskan juruterbang itu, jika rundingan gagal bagi mendapatkan pembebasannya.
Kumpulan pemisah telah melancarkan tentangan bagi mendapatkan kemerdekaan wilayah itu yang kaya dengan hasil bumi dan pernah dikuasai oleh Belanda dulu.
Wilayah itu kemudian diletakkan di bawah kekuasaan Indonesia, berikutan satu pungutan suara yang kontroversi, di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1969. - Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg