
JAKARTA: Polis Metro Jakarta Selatan telah membongkar kes penipuan di beberapa kawasan di ibu kota Indonesia itu, termasuk di masjid, yang melibatkan penggunaan kod respons pantas (QR) palsu.
Pelekat yang dicetak dengan kod QR palsu menyerupai kod QR antarabangsa standard Indonesia (QRIS) - satu sistem pembayaran - telah ditampal ke atas kod QR yang sahih untuk menipu orang ramai memberi derma melalui kod QR palsu.
Buat masa ini, pihak berkuasa di Indonesia telah menangkap satu individu yang mempunyai kaitan dengan kes berkenaan, lapor media, Antara News.
"Kami sudah mengambil tindakan terhadap seseorang yang bernama MIML. Dia telah membuat dan menampal QRIS pada beberapa tempat," kata pengarah siasatan jenayah khas, Pesuruhjaya Kanan Auliansyah Lubis, dalam satu sidang media pada Selasa.
Kes itu timbul selepas satu laporan polis difail pada Ahad, oleh seorang pengurus Masjid Nurul Iman di Blok M Square - sebuah pusat beli- belah di Jakarta Selatan.
Beliau telah menemui beberapa pelekat yang mengandungi kod QR tersebut di masjid itu, tambahnya.
Encik Auliansyah berkata pengurus masjid itu yang telah membuat laporan, menemui satu pelekat QRIS yang ditampal di salah satu dinding di kawasan masuk masjid itu.
Beliau kemudian bertanya pekerja pembersihan masjid siapa yang menampalnya.
"Salah seorang daripada mereka di situ mengatakan bahawa beliau tidak tahu siapa yang menampalnya. Saat diperiksa kembali di masjid tersebut ada beberapa tempat atau dinding yang telah ditampal QRIS palsu itu," jelasnya.
Pengurus masjid dan pekerja pembersihan itu kemudian memeriksa seluruh premis masjid berkenaan dan menemui lagi 24 pelekat kod QR palsu itu.
Encik Auliansyah menambah pengurus masjid itu melihat kembali rakaman dari kamera litar tertutup masjid yang menunjukkan suspek sedang menampal pelekat kod QR palsu di seluruh masjid.
Suspek tersebut telah menampal kod QR palsu itu di atas kod QR sah masjid berkenaan, di sebelah kod yang sebenar dan juga di dinding yang kosong.
Menerusi kod QR palsu itu, jemaah masjid yang berniat membuat pendermaan kepada masjid itu akan sebaliknya menghantar wang kepada akaun pemilik kod QR tersebut.
Encik Auliansyah berkata suspek dengan nama MIML itu didakwa melanggar undang-undang Maklumat Elektronik dan Urus Niaga, yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam tahun dan denda sehingga Rp1 bilion ($89,682).


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg