BAITULMAKDIS: Polis Israel menyerang puluhan jemaah di pekarangan Masjid Al-Aqsa menjelang subuh Rabu, kata beberapa orang yang menyaksikannya, sedang polis pula mengatakan ia bertindak balas terhadap aksi rusuhan.
Persatuan Bulan Sabit Palestine melaporkan kecederaan tetapi tidak pula menyebut berapa ramai yang cedera.
Ia mengatakan dalam satu kenyataan, bahawa pasukan Israel menghalang anggota medik menuju ke masjid itu.
"Saya sedang duduk di kerusi membaca (Quran)," kata seorang wanita tua kepada agensi berita Reuters, semasa berada di luar masjid, dalam keadaan sesak nafas.
"Mereka melontarkan bom kejutan, satu daripadanya kena pada dada saya," katanya sambil menangis.
Polis Israel dalam satu kenyataannya berkata mereka terpaksa merempuh masuk ke pekarangan masjid itu setelah "pelaku-pelaku bertopeng" mengurung diri dalam masjid dengan membawa bunga api, kayu dan batu.
"Apabila polis ke pekarangan itu, mereka melontar batu ke arah polis dan bunga api dilepaskan dari arah dalam masjid oleh sekumpulan pelaku," menurut kenyataan itu sambil menambah seorang anggota polis cedera di kakinya.
Keganasan di Tebing Barat yang ditakluki dan Baitulmakdis, semakin meningkat kebelakangan ini dan terdapat kebimbangan akan memuncak pada April ini, semasa umat Islam menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan, yang kebetulan serentak dengan perayaan-perayaan Yahudi dan Kristian.
Pertelagahan di pekarangan Masjid Al-Aqsa, yang dikenali sebagai Temple Mount di kalangan orang-orang Yahudi, memicu kepada keganasan sejak beberapa tahun.
Kumpulan-kumpulan Palestine mengutuk serangan Israel itu ke atas para jemaah yang hendak beribadah di situ dan menyifatkannya sebagai tindakan jenayah.
"Kami memberi amaran kepada mereka supaya jangan melintasi garis merah di tapak suci itu, yang boleh membawa kepada terjadinya satu letupan besar," kata Encik Nabil Abu Rudeineh, jurucakap bagi Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas.
Rakaman video yang tular di media sosial, yang tidak dapat disahkan oleh Reuters, menunjukkan polis memukul jemaah dalam masjid sedang tembakan bunga api dilepaskan. - Reuters.
"Apabila polis ke pekarangan itu, mereka melontar batu ke arah polis dan bunga api dilepaskan dari arah dalam masjid oleh sekumpulan pelaku."
- Polis Israel dalam satu kenyataan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg