JAKARTA: Polis Jakarta telah mengeluarkan amaran terhadap meningkatnya kes jenayah yang biasanya berlaku pada bulan Ramadan yang bakal menjelang.
Justeru, ia menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan bekerjasama menjaga keselamatan kejiranan sepanjang bulan mulia.
“Kami menggesa semua orang supaya meningkatkan kewaspadaan mereka dan bekerjasama untuk menjaga keselamatan kawasan kejiranan masing-masing,” kata jurucakap Ketua Polis Jakarta, Encik Ade Ary Syam Indradi, dalam satu kenyataan bertulis kepada media.
Dalam hal itu, orang ramai dinasihatkan supaya menjaga rumah masing-masing bagi mengelakkan berlakunya jenayah, terutamanya ketika mereka keluar untuk solat tarawih atau sahur di luar.
Pengumuman rasmi permulaan Ramadan akan ditetapkan berdasarkan kaedah melihat anak bulan dengan mesyuarat pihak berkuasa agama akan diadakan pada 28 Februari.
Bagaimanapun, pertubuhan Islam kedua terbesar di Indonesia, Muhammadiyah, telah mengumumkan bahawa hari pertama Ramadan jatuh pada hari Sabtu, 1 Mac, berdasarkan pengiraan astronomi atau kaedah hisab.
Encik Ade berkata risiko jenayah biasanya meningkat dalam tempoh ini, termasuk jenayah jalanan biasa seperti merompak, rampas lari, samun dan mencuri dengan menggunakan teknik hipnosis.
Orang ramai juga harus memastikan keselamatan rumah mereka dengan mengunci semua pintu, tingkap dan pagar.
Barang-barang berharga pula harus disimpan di tempat yang tidak mudah dilihat atau diakses.
Lampu luar yang dinayalakan pada waktu malam juga boleh membantu menghalang jenayah yang mungkin berlaku.
Untuk mengelakkan jenayah berkaitan kenderaan, polis mengesyorkan pemilik meletak kereta di kawasan selamat dan menggunakan kunci berkembar.
Pemandu juga harus mengelak daripada meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan mereka, tanpa mengira waktu. “Letak kenderaan anda di kawasan selamat dan gunakan kunci berkembar untuk mengelakkan kecurian. Elakkan meninggalkan barang berharga di dalam kenderaan, sama ada pada waktu siang atau malam,” katanya.
Bagi mengukuhkan keselamatan masyarakat, polis turut menggalakkan kawasan kejiranan menganjurkan rondaan malam terutama pada waktu berisiko tinggi.
“Jika anda melihat apa-apa yang mencurigakan, laporkan segera kepada polis atau pihak berkuasa keselamatan tempatan,” kata Encik Ade.
Selain jenayah fizikal, polis juga memberi amaran terhadap risiko jenayah siber, terutamanya penipuan yang menyamar sebagai derma amal yang sering muncul pada bulan Ramadan.
Orang ramai dinasihatkan supaya mengesahkan kesahihan pungutan derma dan mengelak daripada diperdaya tawaran yang kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg