JOHOR BARU: Polis Malaysia sedang menyiasat penyebaran dokumen sulit tentang koronavirus Covid-19 di media sosial, lapor agensi berita Bernama.
Ketua polis daerah Kota Tinggi, Johor, Ahsmon Bajah, berkata mereka telah memulakan kerja siasatan, dan hal tersebut disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Perhubungan dan Multimedia 1988.
"Kami telah melancarkan siasatan ke atas penyebaran laporan rahsia yang bertujuan sebagai peredaran dalaman Polis Diraja Malaysia sahaja," katanya.
"Siasatan akan memberi fokus kepada bagaimana dokumen itu dibocorkan kepada orang awam," tambah beliau.
Dokumen tersebut mendakwa bahawa seorang pegawai polis Kota Tinggi dijangkiti dengan virus itu setelah bekerja di Singapura.
Butiran peribadi pegawai tersebut telah tersebar luas di Facebook dan WhatsApp.
Sementara itu, Jabatan Kesihatan Johor menafikan bahawa terdapat kes koronavirus berkaitan pegawai itu. Ia telah membuat laporan polis berkenaan hal tersebut.