SEOUL: Polis Korea Selatan pada 11 Mac mendedahkan identiti seorang guru yang didakwa menikam seorang murid perempuan berusia lapan tahun hingga maut di sebuah sekolah rendah di bandar Daejeon pada 10 Februari lalu.
Agensi Polis Metropolitan Daejeon mengumumkan nama, umur dan gambar suspek di laman web rasmi mereka, mengenal pasti individu berkenaan sebagai Myung Jae-wan, berusia 48 tahun. Maklumat peribadi Myung akan kekal dipaparkan kepada umum sehingga 11 April.
Menurut kenyataan polis, keputusan untuk mendedahkan identiti dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa penilaian yang berlangsung sehari sebelumnya. Polis mengambil kira tahap serius kes jenayah tersebut serta pandangan keluarga mangsa yang kehilangan anak mereka.
Difahamkan, Myung tidak mengemukakan sebarang bantahan terhadap pendedahan itu, lapor The Korea Herald.
Kejadian tragis itu berlaku pada 10 Februari apabila Myung ditemui di sebelah mayat murid berkenaan, Kim Ha-neul, dengan beberapa kesan tikaman pada badannya sendiri yang dipercayai dilakukan oleh dirinya sendiri.
Ha-neul segera dikejarkan ke hospital namun disahkan meninggal dunia akibat pendarahan yang teruk. Myung pula ditahan pihak berkuasa minggu lalu selepas menerima rawatan perubatan.
Hasil siasatan awal mendapati Myung dipercayai telah merancang jenayah itu terlebih dahulu. Polis mengesahkan bahawa senjata yang digunakan telah dibeli oleh suspek di sebuah pasar raya berhampiran sekolah sebelum kejadian berlaku.
“Kami mendedahkan identiti suspek bagi memenuhi kepentingan awam dan selaras dengan permintaan keluarga mangsa. Pendedahan ini bukan sahaja mencerminkan keseriusan kes, tetapi juga sebagai usaha untuk memastikan ketelusan dalam siasatan kami,” kata jurucakap Polis Metropolitan Daejeon.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg