Polis Malaysia siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara
Polis Malaysia siasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara
KUALA LUMPUR: Polis sedang menyiasat ancaman terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata beliau telah mengarahkan
Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menyiasat hal tersebut.
Tambahnya, ini merupakan isu serius dan polis telah memulakan siasatan itu meskipun tidak menerima sebarang laporan.
"Saya sudah mengarahkan JSJ Bukit Aman memulakan siasatan dengan meneliti segala ancaman serta ugutan terhadap Ketua Hakim Negara dan siasatan sama turut membabitkan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT).
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah semestinya tidak akan bertolak ansur dengan sebarang perkara membabitkan isu keselamatan dan ketenteraman awam yang boleh mengganggu keamanan," ujarnya.
Ancaman terhadap Tengku Maimun dikesan dalam pelbagai wadah media sosial termasuk aplikasi Twitter dan Facebook.
Dalam kejadian terkini, beberapa orang di Facebook didakwa mengancam untuk membunuh Tengku Maimun sekiranya beliau menjatuhkan hukuman terhadap individu yang 'tidak bersalah'. - Agensi berita.

