Topik diikuti
Pergi ke BHkuPolis M'sia, Indonesia perketat sekatan bagi elak warga 'mudik' kampung sempena Aidiladha
Polis M'sia, Indonesia perketat sekatan bagi elak warga 'mudik' kampung sempena Aidiladha
Polis M'sia, Indonesia perketat sekatan bagi elak warga 'mudik' kampung sempena Aidiladha
KUALA LUMPUR/JAKARTA: Pihak polis di Malaysia dan Indonesia memperketatkan sekatan di beberapa jalan raya bagi mengelakkan orang ramai 'mudik' atau pulang ke kampung semasa Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut esok.
Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, menitahkan rakyat Kelantan supaya kekal mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berjalan ketika ini, termasuk larangan rentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halaman.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata mereka percaya beberapa ada orang akan cuba kembali ke kampung halaman mereka.
Pemeriksaan yang lebih ketat dan sekatan jalan raya di sepanjang sempadan Selangor dilaksanakan untuk mencegah percubaan balik kampung untuk Hari Raya Aidiladha, katanya.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan menyatakan bahawa solat sunat Aidiladha dan khutbah Hari Raya serta ibadah korban bagi tahun ini turut dibenarkan dengan mengikut ketetapan prosedur operasi standard (SOP) dan kebenaran pihak berkuasa agama negeri.
Bagaimanapun takbir dari rumah ke rumah, jamuan selepas solat sunat Aidiladha, program ziarah, ziarah tanah perkuburan dan rumah terbuka atau majlis jamuan Hari Raya adalah tidak dibenarkan.
Lapor Tribunnews pula, pihak polis di Indonesia sudah menambah bilangan sekatan jalan raya di Pulau Jawa, Bali hingga Lampung.
Sehingga kini, terdapat 1,038 sekatan jalan raya di seluruh wilayah tersebut.
Sekatan jalan raya itu bagi mengelakkan penyebaran virus Covid-19 di Indonesia.
Ketua Ops Korlantas, Rudy Antariksawan, berkata sekatan jalan raya difokuskan kepada jalan-jalan utama serta jalan bertol.
"Orang ramai dijangka pulang ke kampung untuk bersilaturahmi cukup tinggi sempena Hari Raya Aidiladha, sebab itu kami menambah sekatan jalan raya khususnya di kawasan jalan bertol serta jalan-jalan utama," katanya kepada wartawan.
Penduduk juga tidak dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha di surau mahupun masjid, dengan sebarang aktiviti perjalanan dan perjumpaan dilarang.
Menteri Agama, Yaqut Cholil Qoumas, dalam pada itu meminta umat Islam supaya menunaikan solat sunat di rumah bersama ahli keluarga sahaja.
Tindakan itu perlu diambil bagi mengelakkan risiko penularan Covid-19 serta mengatasi masalah kekurangan bekalan vaksin di beberapa wilayah. - Agensi berita.