GEORGE TOWN: Kira-kira 840 kilogram ganja bernilai RM2.12 juta ($667,200) telah dirampas, dengan polis menumpaskan sindiket pengedaran ganja di sini - dipercayai tindakan terbesar sejauh ini pada tahun ini.
Lapan suspek, termasuk dua warga Thailand, ditahan semasa serbuan di Sungai Bakap dan Simpang Ampat.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (NCID) Bukit Aman, Pesuruhjaya Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek berusia antara 35 dengan 59 tahun itu ditahan dalam operasi bersama NCID negeri bermula 10.50 malam Jumaat hingga 1 pagi keesokan harinya.
"Dalam serbuan pertama di kawasan perumahan di Sungai Bakap, polis terserempak dengan sekumpulan lelaki yang sedang sibuk memunggah guni berisi ganja daripada lori," kata Datuk Ayob pada sidang media di ibu pejabat polis kontinjen negeri.
Beliau berkata ganja itu dipercayai untuk pengedaran tempatan.
"Tujuh suspek berjaya diberkas dalam serbuan pertama, manakala seorang lagi ditahan dalam serbuan lain di Simpang Ampat," katanya.
Datuk Ayob juga berkata polis merampas 848 keping ganja bernilai kira-kira RM2.12 juta, yang mungkin dibekalkan kepada kira-kira 1.6 juta pengguna dadah.
Tiga kenderaan bernilai RM80,000 turut dirampas.
Datuk Ayob berkata sindiket itu telah beroperasi sejak akhir tahun lepas dan dipercayai menyeludup dadah dari selatan Thailand melalui laluan laut.
"Ujian air kencing mendapati lima daripada suspek positif THC (tetrahydrocannabinol) dan morfin," katanya sambil menambah bahawa kelima-lima mereka didapati mempunyai rekod jenayah.
Datuk Ayob berkata, suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg