Polis M'sia siasat penjualan sijil digital vaksinasi palsu
Polis M'sia siasat penjualan sijil digital vaksinasi palsu
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah membuka kertas siasatan berhubung penjualan sijil digital vaksinasi Covid-19 palsu secara dalam talian.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata setakat ini, pihaknya menerima satu laporan membabitkan isu itu selepas satu artikel dimuat naik seorang pengguna Facebook mendakwa wujud penjualan sijil berkenaan.
Beliau berkata kes disiasat mengikut di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana memberi maklumat palsu serta di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia atas kesalahan bagi penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian.
PDRM menasihatkan orang ramai tidak terbabit kegiatan memalsukan dan menjual sijil digital vaksin. Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti satu kes penjualan sijil vaksinasi dalam bentuk kad fizikal secara dalam talian di utara tanah air.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata tindakan akan diambil Unit Inspektorat dan Perundangan KKM ke atas pihak terbabit, manakala laporan polis sudah dibuat bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.
"Kita tidak membenarkan penjualan (sijil vaksinasi) ini kerana ia adalah satu penipuan sebab akan ada individu melakukan penipuan mengatakan dia sudah menerima dua dos vaksin Covid-19. KKM tidak ada mengeluarkan atau membuat perolehan kepada mana-mana pihak untuk mengeluarkan kad vaksinasi kerana sekiranya mahu dine-in (makan di premis) atau merentas daerah, mereka perlu menunjukkan sijil digital di aplikasi MySejahtera atau kad vaksinasi yang dikeluarkan oleh KKM," katanya kelmarin.
Beliau berkata turut menyiarkan tangkap layar penjualan kad fizikal dalam talian yang tertera sijil digital vaksinasi Covid-19 yang dicetak dan dijual pada harga RM15 ($5). - BHM.

