Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis M'sia tahan 5 individu dipercayai terlibat kes tipu 400 jemaah haji

Jul 10, 2022 | 5:30 AM
ac335c6b-313f-41cf-b39d-679726cedc36
-

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima individu termasuk pemilik sebuah agensi pelancongan, kelmarin, yang dipercayai terbabit kes 400 individu ditawarkan pakej haji dan terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata dua lelaki dan tiga wanita berusia 30 hingga 60 tahun itu ditahan dalam serbuan di ibu negara kira-kira 9 malam kelmarin.

"Lima individu yang ditahan itu membabitkan pemilik agensi pelancongan berkenaan serta isterinya, seorang ejen serta dua pekerja di agensi terbabit yang terletak di Danau Kota.

"Kami mengambil keterangan mereka di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Berita Harian Online semalam.

Superintendan Ashari berkata, sebanyak 23 laporan polis diterima di Kuala Lumpur berhubung kes terbabit.

"Sebanyak 23 laporan itu dilaporkan di Wangsa Maju, Sentul dan Dang Wangi membabitkan kerugian berjumlah RM760,000. ($240,275)

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sekitar 380 bakal jemaah haji terkandas di KLIA di Sepang, pagi Khamis dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Mereka yang berkumpul di Balai Pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan haji dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi, tanpa membabitkan jumlah kuota yang diperoleh Tabung Haji.

Penerbangan individu itu dijadualkan ke Jeddah Selasa lalu, namun ditangguhkan atas alasan dokumen tidak lengkap, sebelum penerbangan baru dijadualkan pada 4.30 petang Khamis dan tertangguh lagi pada 7 malam, hari sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg