JOHOR BARU: Polis Malaysia telah menumpaskan sindiket dadah yang menyeludup dadah haram ke Singapura dengan menyembunyikannya dalam alat pemadam api yang diubah suai. Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata sindiket itu telah membawa dadah tersebut, yang dimasukkan ke dalam alat pemadam api dan dalam perjalanan ke Singapura, melalui lori muatan sejuk. Operasi haram sindiket dadah itu ditumpaskan setelah perisikan dikongsi antara Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Malaysia, dan kontinjen polis Johor. "Operasi sindiket itu adalah untuk menyeludup dadah ke negara jiran dan mereka dipercayai telah beroperasi selama kira-kira tiga bulan," kata Datuk Ayob Khan dalam satu kenyataan. Sembilan orang ditangkap dalam serbuan berasingan di sekitar Johor Baru pada Isnin (31 Mei), kata ketua polis Johor. Tujuh lelaki Malaysia, satu wanita Malaysia dan satu lelaki Indonesia, berusia antara 26 dengan 40 tahun, ditahan. Jurucakap CNB pada Selasa berkata: "Penangkapan baru-baru ini di Malaysia dan Singapura adalah bukti kerjasama erat antara agensi penguatkuasaan dadah di kedua-dua negara. "CNB akan terus bekerjasama rapat dengan (NCID) Malaysia untuk berkongsi perisikan tepat pada masanya dan melindungi sempadan kita daripada kegiatan pengedaran dadah transnasional." Penyiasat merampas dadah dengan nilai lebih RM215,000 ($67,800). Dadah tersebut termasuk sekitar 7 kilogram ganja, 4.5 kilogram methamphetamin, dan sekitar 3 kilogram heroin. Lapan kereta, wang tunai dan pelbagai barang kemas juga antara barang yang dirampas. Pengedaran dadah di Malaysia membawa hukuman mati.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg