WELLINGTON: Kebakaran asrama yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam orang di ibu negara New Zealand ini dianggap sebagai satu perbuatan membakar dengan sengaja, kata polis pada Rabu ketika mereka melancarkan satu siasatan pembunuhan.
"Saya boleh mengesahkan bahawa kami menganggap kebakaran itu sebagai satu pembakaran," kata inspektor polis dan pemangku komander daerah, Encik Dion Bennett, kepada pemberita, tetapi beliau enggan memberikan alasan penuh di sebalik siasatan pembakaran itu.
"Ia dianggap sebagai penyiasatan pembunuhan," katanya, sambil menambah bahawa polis mempunyai senarai orang yang mereka ingin bercakap.
Tiada seorang pun telah ditangkap setakat ini, kata Encik Bennett.
Kebakaran yang berlaku di asrama Loafers Lodge pada tengah malam Selasa di tengah Wellington pada waktu malam itu menyebabkan kerosakan struktur yang besar hingga menghalang usaha menyelamat dan menyiasat.
Pengurus Wilayah Bomba dan Kecemasan New Zealand (FENZ), Encik Bruce Stubbs, berkata mereka berharap penyiasat polis akan dapat masuk ke dalam bangunan itu pada Rabu.
"Langkah seterusnya untuk kami lakukan ialah memastikan bahawa tidak ada orang lain di dalam bangunan dan bekerjasama dengan polis dalam siasatan dan menyokong mereka dalam mengeluarkan enam mangsa," katanya kepada Radio New Zealand milik pemerintah.
Ada orang merangkak keluar melalui asap tebal untuk menyelamatkan diri, manakala yang lain diselamatkan dari bumbung oleh perkhidmatan kecemasan menggunakan trak tangga.
Anggota bomba menggunakan trak tangga untuk menyelamatkan orang yang terperangkap di atas bumbung, kata Timbalan Komander Bomba dan Kecemasan, Encik Brendan Nally.
Seorang penghuni asrama, yang hanya dikenali sebagai sebagai Chris, memberitahu penyiar awam TVNZ bahawa beliau merangkak keluar dari biliknya untuk melarikan diri melalui asap tebal.
Kira-kira 90 orang dipercayai berada di dalam bangunan itu ketika kebakaran bermula, kata perkhidmatan bomba.
Perdana Menteri Encik Chris Hipkins menyifatkan kebakaran itu sebagai tragedi.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg