Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Polis NZ tembak mati 'pelampau ganas'

Penyerang dipengaruhi kumpulan ganas IS; tikam, cederakan sekurang-kurangnya enam mangsa dalam satu kejadian di pasar raya
Sep 04, 2021 | 05:30 AM



WELLINGTON: Polis New Zealand semalam menembak mati seorang "pelampau ganas" yang diketahui polis, kata Perdana Menteri, Cik Jacinda Ardern, setelah penyerang itu menikam dan mencederakan sekurang-kurangnya enam orang di satu pasar raya di bandar Auckland.



"Seorang pelampau yang ganas melakukan serangan pengganasan ke atas warga New Zealand yang tidak bersalah," kata Cik Ardern dalam satu taklimat .



Penyerang itu warga Sri Lanka yang berada di New Zealand selama 10 tahun dan telah menjadi "individu yang sedang dipantau" selama lima tahun, katanya.



Cik Ardern berasa amat kecewa bahawa lelaki itu berhasil melakukan serangan "kebenciannya" walaupun dia berada dalam daftar pengganas negara itu.



Lelaki itu dikatakan memasuki satu pusat beli-belah di pinggir bandar Auckland, merampas sebilah pisau yang sedang dipamerkan sebelum melakukan serangan ganasnya.



Enam orang cedera dengan tiga daripadanya berada dalam keadaan kritikal.



Lelaki itu kemudian dibunuh dalam tempoh 60 saat selepas serangan itu, kata Cik Ardern, sambil menambah, penyerang itu dipengaruhi kumpulan pengganas IS.



Pelanggan pasar raya yang ketakutan dirakam satu video melarikan diri untuk keluar sedang beberapa lelaki berlari ke arah kejadian sebelum beberapa tembakan kedengaran.



Serangan itu telah mengingatkan semula tragedi serangan penembakan di masjid-masjid di Christchurch pada Mac 2019 - kejadian pengganasan terburuk di New Zealand yang menyebabkan kematian 51 orang dan mencederakan 40 lain.



Ia dilakukan seorang lelaki kulit putih yang bersenjata.



"Apa yang berlaku hari ini sangat hina, penuh kebencian, dan ia salah," kata Cik Ardern.



"Ini dilakukan oleh individu, bukan satu agama, bukan budaya, bukan etnik. Dia sendiri yang memikul tanggungjawab bagi tindakan ini."



Cik Ardern menambah, dirinya kini terbatas dalam apa yang dapat didedahkan secara terbuka tentang penyerang itu kerana penyerang itu pernah dibawa ke pengadilan sebelumnya dan menjadi subjek perintah mahkamah.



Pemerintahnya sedang berusaha untuk menarik balik sebarang perintah batasan agar rakyat negara itu dapat memahami keadaan dengan lebih mendalam.



Cik Ardern memaklumkan lelaki itu pernah dipenjara tetapi pihak berkuasa terpaksa melepaskannya kerana tidak ada alasan undang-undang untuk terus menahannya.



"Hakikat bahawa dia berada di masyarakat menjadi gambaran bahawa kita belum berhasil menggunakan undang-undang seperti yang kita inginkan," ujarnya.



Cik Ardern mengatakan beliau begitu kecewa kerana satu risiko pengganasan yang diketahui telah berjaya melakukan serangan itu, dengan mengatakan semua aspek kejadian itu akan ditinjau.



Satu video yang disiarkan di media sosial menunjukkan pembeli di pasar raya New Lynn tidak lama selepas serangan itu berlaku.



"Ada seseorang di sini dengan pisau... dia bersenjatakan pisau," kata seorang wanita. "Seseorang telah ditikam."



Seorang pengawal pula meminta orang ramai meninggalkan pusat beli-belah sebelum kedengaran enam das tembakan.



Pada Mei lalu, empat orang ditikam dalam satu kejadian di pasar raya di Dunedin di Pulau Selatan New Zealand. - Reuters, AFP.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >