Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Politik Indonesia masih kurang calon wanita

Feb 5, 2024 | 5:30 AM
Cik Anindya Shabrina Prasetiyo (tengah), calon perundangan Parti Buruh menghadiri perhimpunan di  Surabaya. Lebih 200 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya umum dengan lebih separuh daripada mereka wanita, Namun hanya sedikit sahaja wanita yang mewakili mereka.
Cik Anindya Shabrina Prasetiyo (tengah), calon perundangan Parti Buruh menghadiri perhimpunan di Surabaya. Lebih 200 juta orang layak mengundi dalam pilihan raya umum dengan lebih separuh daripada mereka wanita, Namun hanya sedikit sahaja wanita yang mewakili mereka. - Foto AFP

JAKARTA: Lebih 205 juta rakyat Indonesia yang tinggal di dalam dan luar negara layak mengundi dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada 14 Februari, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU).

Daripada jumlah itu, lebih 102.8 juta merupakan pengundi lelaki dan 103 juta lagi adalah wanita.

Namun hanya segelintir golongan wanita mewakili mereka dalam Parlimen.

Menurut data pilihan raya, sekitar 107 juta, atau lebih separuh daripada pengundi berdaftar bagi pemilihan pada Februari 2024, berumur bawah 40 tahun.

Barisan calon Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 pada 14 Februari kebanyakan didominasi lelaki, tetapi sebilangan wanita cuba turut serta menceburi politik yang sekian lama diterajui golongan itu.

Dalam pengundian Februari ini, kesemua 18 parti politik yang bertanding 580 kerusi Parlimen dan 30 daripadanya adalah wanita.

KUASA LELAKI

Di sebalik perkembangan kempen baru-baru ini, perwakilan wanita tidak menonjol, menurut pakar.

“Kami mempunyai ramai ahli politik wanita yang berdedikasi dan berkebolehan, tetapi masih ramai yang menganggap wanita lemah serta tidak mempunyai mutu kepimpinan.

“Tetapi itulah realitinya, terutama di kawasan luar bandar,” kata calon ahli Parlimen, Cik Lingga Permesti, kepada agensi berita, AFP di bandar Klaten di mana beliau bertanding di kawasan itu.

Pakar pilihan raya, Cik Titi Anggraini dari Universiti Indonesia berkata, suruhanjaya pilihan raya hanya membenarkan lebih sedikit calon wanita bertanding yang sekali gus mengukuhkan keengganan untuk membawa lebih ramai wanita ke dalam arena politik.

“Tahun 2024 menandakan penurunan dalam pengesahan perwakilan wanita, menunjukkan kemunduran negara dalam memenuhi hak politik,” katanya

Pemerintah Indonesia mula mengenakan kuota calon wanita kepada semua parti politik yang bertanding sejak 1999.

Pada pilihan raya lalu, kuota calon wanita ialah 18 peratus dan pada 2024, parti yang tidak mencapai syarat jumlah 30 peratus calon wanita tidak akan dibenarkan bertanding.

Namun, berikutan ‘trend pelik’ dalam kalangan pengundi Indonesia untuk cenderung memilih calon nombor satu (teratas) dalam urutan nama tidak kira parti, ramai calon wanita itu gagal bersaing kerana mereka sering diletak di bahagian bawah puluhan nama calon.

Pada pilihan raya 2024, hanya 19 peratus daripada calon wanita itu diletak di kedudukan atas kertas undi.

Hanya satu parti yang memenuhi kuota calon wanita untuk pilihan raya di seluruh negara di setiap 84 daerah yang bertanding.

Semasa dua debat presiden pertama negara itu, tiga lelaki bertarung untuk jawatan tertinggi iaitu Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto dan mantan gabenor wilayah, Encik Ganjar Pranowo dan Encik Anies Baswedan, didapati tidak sekali pun menyebut tentang penjagaan kesihatan reproduktif atau peluang yang sama.

Pakar antropologi di Universiti Indonesia, Dr Irwan Martua Hidayana berkata, masyarakat patriarki atau kuasa dipegang kaum lelaki berpunca daripada sikap akar umbi yang diperkenalkan semasa era penjajahan Belanda selama beberapa dekad dan kemudian diperkukuh semasa pemerintahan autokratik Suharto.

“Jika kita melihat sejarah, beberapa kajian menunjukkan bahawa Indonesia mempunyai hubungan egalitarian antara lelaki dengan wanita sebelum penjajah mengubahnya,” ujar Dr Irwan.

“Semasa mengadakan kempen, seorang ketua daerah lelaki beritahu penduduk di sana bahawa saya hanyalah calon tambahan.

“Tetapi, sebenarnya saya bertanding hanya untuk membantu parti memenuhi kuota perwakilan,” singkap Cik Lingga kepada AFP.

Akhirnya, semua calon memilih pasangan lelaki kerana bimbang masyarakat patriarki Indonesia tidak bersedia untuk wanita menduduki jawatan kedua tertinggi.

Sekian lama, Indonesia terkenal dengan amalan politik nepotisme dan pernah mempunyai presiden wanita, Cik Megawati Sukarnoputri iaitu anak perempuan presiden pertama, Sukarno.

Tetapi, beliau tidak dipilih secara langsung dan dilantik menjawat jawatan tertinggi daripada naib presiden selepas penyingkiran Encik Abdurrahman Wahid pada 2001.

SEMAKAN KEHAKIMAN

Kurangnya calon wanita mula dilihat pada lewat Ogos 2023 apabila Mahkamah Agung membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap peraturan KPU yang mengurangkan jumlah calon wanita pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) 2024. 

Lapor Kompas.com petisyen untuk semakan kehakiman yang diluluskan itu sudah difailkan oleh Masyarakat Prihatin tentang Perwakilan Wanita.

Keputusan itu disahkan Ketua Panel Hakim, Dr Irfan Fachruddin bersama dua orang ahli panel hakim, Dr Cerah Bangun dan Dr Yodi Martono. 

Peraturan yang dimaksud melibatkan Pasal 8 Ayat (2) Peraturan KPU Nomor 10 Tahun 2023 tentang Pencalonan Anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) yang bertentangan dengan Pengesahan Konvensi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita 1984.

“Setelah menunggu beberapa lama, KPU tidak mengotakan janji untuk menyemak semula Peraturan KPU, jadi tiada pilihan lain selain mengemukakan semakan kehakiman Peraturan KPU kepada Mahkamah Agung,” ujar wakil Persatuan untuk Pemilu dan Demokrasi (Perludem)

Kumpulan itu meminta cara pembundaran yang diterapkan KPU dalam menghitung jumlah calon di suatu daerah dihapuskan dan diganti dengan kaedah pengiraan lain.  

“Dalam artikel itu, KPU mengawal pembundaran ke bawah jika pengiraan 30 peratus perwakilan wanita menghasilkan nombor perpuluhan kurang daripada lima mata. 

“Sebagai contoh, jika terdapat lapan orang calon dalam satu daerah pilihan raya, jumlah 30 peratus wanita yang diwakili ialah 2.4. 

“Oleh kerana nombor di belakang perpuluhan adalah kurang daripada lima, hanya dua orang sahaja dibenarkan, justeru perkara ini dilihat tidak adil dan perlu diperbetulkan,” jelas Perludem.

DI TANGAN WANITA

Persaingan merebut jawatan presiden Indonesia yang semuanya membabitkan calon lelaki bagi menerajui ekonomi terbesar Asia Tenggara mungkin berada di tangan seorang wanita ini.

Dr Khofifah Indar Parawansa, Gabenor Jawa Timur, wilayah kedua terbesar di Indonesia, sekali lagi dilihat memainkan peranan penting dalam kemenangan presiden, sama seperti pada penggal kedua Presiden Indonesia, Encik Joko Widodo atau Jokowi.

Jawa Timur, yang menempatkan 31 juta pemilih mengundi Encik Jokowi dalam dua pilihan raya lalu.

Tiga pesaing untuk jawatan tertinggi iaitu Menteri Pertahanan, Encik Prabowo Subianto dan bekas gabenor wilayah, Encik Ganjar Pranowo dan Encik Anies Baswedan, pada awalnya dilihat mendapat sokongan Dr Khofifah.

Dalam kalangan Nahdlatul Ulama (NU), Dr Khofifah memecah tradisi selepas beliau dipilih untuk penggal ketiga sebagai pengerusi sayap wanitanya yang dipanggil Muslimat, dianggarkan penganalisis mempunyai lebih 30 juta ahli.

Sokongan yang hampir sebulat suara untuk Dr Khofifah mendorong NU untuk meminda peraturannya iaitu hanya membenarkan seorang individu berkhidmat sebagai pengerusi selama dua penggal.

“Pengundi wanita mungkin mendapati sokongan Khofifah kepada Prabowo dan Gibran meyakinkan,” kata Dr Ella Prihatini, pensyarah di Universiti Presiden yang berpangkalan di Jakarta.

“Beliau sememangnya mempunyai kekuatan tersendiri dalam meraih sokongan orang ramai ketika pilihan raya.

“Pengalamannya yang luas dalam politik meletakkannya antara ahli politik terkemuka yang pengundi tradisionalnya berpangkalan di Jawa Timur,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg