BANDUNG: Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI) mendedahkan terdapat 4.7 juta pekerja asing warga Indonesia di luar negara menjadi mangsa penipuan sindiket. Detik.com melaporkan, sebahagian besar daripada mereka dipaksa bekerja secara haram, dengan majoriti mangsa adalah wanita dan golongan ibu. Ketua BP2MI Benny Rhamdani, berkata antara masalah yang dihadapi mereka ialah tidak dibayar gaji, diseksa atau didera hingga cedera parah, malah ada yang meninggal dunia. Jelas beliau, dalam tempoh dua tahun lalu, BP2MI membantu membawa pulang 65,734 pekerja asing warga Indonesia yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan atau penyeludupan manusia. "Terdapat 981 pekerja asing warga Indonesia yang meninggal dunia dan kami membantu membawa pulang jenazah kepada waris mereka. "Dalam tempoh dua tahun ini, terdapat 1,316 pekerja saing warga Indonesia yang sakit dan kami membantu mereka pulang ke tanah air manakala 62,488 lagi berdepan masalah undang-undang," katanya.
Tambah Encik Benny, kes sedemikian membuktikan kewujudan sindiket yang meletakkan mereka dalam pelbagai sektor secara haram dan menjadi satu jenayah di mana lazimnya hanya mangsa yang menerima akibatnya jika tertangkap. Justeru, katanya, pengendalian menyeluruh diperlukan untuk membasmi mafia atau sindiket pemerdagangan dan penyeludupan pekerja asing warga Indonesia secara haram. "Saya harap akan tiba masanya kita dapat memenjarakan anggota sindiket berkenaan dan menyita serta merampas semua harta kekayaan daripada perniagaan kotor ini supaya mereka tidak dapat teruskan operasi," katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg