Topik diikuti
Pergi ke BHkuPrabowo: Berdosa pemimpin yang bohong kepada rakyat
Prabowo: Berdosa pemimpin yang bohong kepada rakyat
Pertahankan pencapaian pentadbiran selain tolak dakwaan bahawa pemerintah kelirukan rakyat mengenai prestasi sebenar negara
Prabowo: Berdosa pemimpin yang bohong kepada rakyat
JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menegaskan bahawa pemimpin yang berbohong kepada rakyat bukan sahaja melakukan dosa, malah mengkhianati kepentingan negara.
Beliau berkata demikian ketika mempertahankan pencapaian pentadbirannya dalam mencapai sasaran sara diri makanan, sambil menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pemerintah mengelirukan rakyat mengenai prestasi sebenar negara.
“Berdosalah pemerintah yang berbohong kepada rakyatnya. Berdosalah pemimpin yang berbohong kepada rakyatnya. Pemimpin yang tidak setia kepada kepentingan negara mengatasi segala kepentingan lain adalah pengkhianat,” katanya ketika melancarkan Program Mandatori Biodiesel B50 di Karawang, Jawa Barat, pada 9 Julai.
Encik Prabowo berkata pentadbirannya berjaya mencapai sasaran sara diri makanan dalam tempoh setahun, lebih awal daripada sasaran asal empat tahun.
“Alhamdulillah, kita telah membuktikan bahawa kita mampu menjamin bekalan makanan untuk rakyat. Kita sudah mencapai sara diri makanan dalam tempoh setahun, walaupun sasaran asal ialah empat tahun,” katanya.
Menurut beliau, masih terdapat pihak yang memperkecilkan pencapaian itu, termasuk golongan yang mendakwa pemerintah menyampaikan maklumat tidak benar kepada rakyat.
“Ada yang menganggap diri mereka bijak, memperlekehkan usaha pemerintah, menghalang dan menuduh kerajaan berbohong bahawa kita belum mencapai sara diri makanan,” katanya.
Beliau bagaimanapun menegaskan pemerintah tidak boleh sama sekali menipu rakyat demi kepentingan politik.
“Pemerintah tidak boleh berbohong kepada rakyat. Pemimpin mesti bercakap benar kerana amanah yang diberikan rakyat adalah tanggungjawab yang besar,” katanya.
Selain sara diri makanan, Encik Prabowo berkata sejak sebelum dilantik sebagai Presiden, beliau telah menetapkan dua keutamaan utama negara, iaitu mencapai sara diri makanan dan sara diri tenaga bagi mengurangkan kebergantungan kepada import.
Beliau berkata keselamatan makanan dan tenaga adalah asas penting kepada kedaulatan sesebuah negara.
“Sejak awal lagi saya menegaskan kepada pasukan saya bahawa Indonesia mesti berdikari dalam pengeluaran makanan dan tenaga supaya kita tidak terus bergantung kepada negara lain,” katanya.
Menurut Encik Prabowo, bekalan air juga menjadi faktor penting yang menentukan kelangsungan sesebuah negara.
Beliau berkata Tentera Nasional Indonesia (TNI) terus membantu rakyat melalui program penggerudian telaga di kawasan yang mengalami masalah bekalan air.
“Sehingga kini TNI terus mencari sumber air di kawasan yang menghadapi kesukaran. Tahun ini sahaja kira-kira 30,000 telaga telah digerudi dan usaha itu akan diteruskan,” katanya.
Pada majlis sama, Encik Prabowo turut melancarkan pelaksanaan mandatori Biodiesel B50, iaitu dasar yang mewajibkan semua diesel di Indonesia mengandungi campuran 50 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit.
Menteri Tenaga dan Sumber Mineral, Bahlil Lahadalia, berkata dasar baharu itu dijangka menghapuskan kebergantungan Indonesia terhadap import diesel.
“Dengan pelaksanaan B50, syukur Alhamdulillah, kita tidak lagi perlu mengimport diesel ke negara ini,” katanya.
Menurut beliau, penggunaan diesel di Indonesia ketika ini mencecah antara 38 juta hingga 40 juta kiloliter setahun.
Bagi memenuhi permintaan tersebut, Indonesia sebelum ini terpaksa mengimport sekitar tiga hingga empat juta kiloliter diesel setiap tahun.
Encik Bahlil berkata penggunaan biodiesel berasaskan minyak sawit tempatan bukan sahaja meningkatkan keselamatan tenaga negara, malah memberi nilai tambah kepada industri sawit domestik dan mengurangkan aliran keluar mata wang asing.
Dalam perkembangan berasingan, Encik Prabowo turut mengingatkan komuniti perniagaan supaya menjalankan perniagaan secara beretika dan mematuhi undang-undang.
Berucap pada pembukaan Musyawarah Nasional Himpunan Pengusaha Muda Indonesia (HIPMI) di Bandar Lampung, beliau mengakui terdapat segelintir usahawan yang pernah melakukan kesilapan pada masa lalu.
“Ramai pengusaha Indonesia mempunyai kesilapan pada masa lalu. Kamu tidak boleh menipu saya kerana saya tahu keadaan sebenar,” katanya secara berseloroh.
Namun, beliau menggesa golongan usahawan meninggalkan amalan yang menyalahi undang-undang dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan ekonomi negara.
Prabowo berkata usahawan memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta merangsang pertumbuhan ekonomi, namun kekayaan yang dijana perlu turut memberi manfaat kepada masyarakat.
“Jika seseorang menjadi kaya tetapi membawa semua kekayaannya ke luar negara tanpa mempedulikan rakyat di sekelilingnya, masa depan negara tidak akan menjadi lebih baik,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif dengan memastikan kepastian undang-undang sentiasa dipelihara.
Menurut Prabowo, kerjasama erat antara pemerintah, sektor swasta dan rakyat merupakan kunci untuk memperkukuhkan ekonomi Indonesia serta mencapai matlamat pembangunan jangka panjang negara. – Agensi berita.
