Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo jadi tumpuan di sidang damai Gaza di Mesir

Oct 14, 2025 | 1:14 PM
Prabowo Subianto, Donald Trump, Gaza
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump (kanan), dan Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, semasa pertemuan dalam Sidang Puncak Pemimpin Dunia mengenai penamatan konflik di Gaza. - Foto REUTERS

SHARM EL-SHEIKH (Mesir): Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mencuri perhatian pemimpin dunia di Sidang Damai Gaza yang berlangsung di pusat peranginan Laut Merah, Sharm el-Sheikh, Mesir.

Acara itu merupakan pertemuan peringkat tinggi yang bertujuan menamatkan pertempuran dan merangka pelan pembinaan semula wilayah Gaza yang hancur akibat perang.

Dalam suasana yang penuh dengan sorotan kamera pada 13 Oktober, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menyambut Encik Prabowo dengan senyuman sambil berkata:

“Saya nampak seorang lelaki yang kuat di sini.”

Kededua pemimpin itu berjabat tangan dan mengangkat ibu jari mereka ke udara, satu detik simbolik yang segera menjadi tumpuan media antarabangsa.

Sidang tersebut dihadiri lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi; Presiden Perancis Emmanuel Macron; Presiden Turkey Recep Tayyip Erdogan; dan Presiden Penguasa Palestin Mahmoud Abbas.

Namun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu tidak hadir, dengan alasan menyambut cuti keagamaan Yahudi Simchat Torah.

Bagi Indonesia, kehadiran Encik Prabowo merupakan satu pencapaian diplomatik penting, kerana beliau adalah satu-satunya pemimpin Asia Tenggara yang dijemput.

Ia sekali gus menonjolkan peranan Jakarta yang semakin berpengaruh di rantau yang biasanya dikuasai kuasa Barat dan Timur Tengah.

Istana Presiden Indonesia menyifatkan penyertaan negara itu sebagai “tonggak bersejarah dan langkah penting ke arah kestabilan dan keamanan di Timur Tengah”.

Dalam kenyataan rasmi, istana menegaskan bahawa penglibatan Encik Prabowo “mencerminkan iltizam tekal Indonesia terhadap diplomasi kemanusiaan dan usaha keamanan sejagat”.

Kenyataan itu turut menambah bahawa penyertaan Indonesia adalah sebahagian daripada komitmen negara untuk “membina tata dunia yang adil dan berperikemanusiaan”.

Pada 23 September, Encik Trump di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York memuji ucapan Encik Prabowo yang lantang membela hak rakyat Palestin.

“Ucapan yang hebat. Kamu lakukan kerja yang sangat baik. Saya suka cara kamu mengetuk meja itu,” kata Encik Trump dengan nada bersahabat.

Dalam ucapan di PBB, Encik Prabowo menegaskan bahawa Indonesia akan terus menyokong kemerdekaan Palestin, sambil menambah bahawa Jakarta bersedia mengiktiraf Israel dan menjamin keselamatannya selepas Palestin memperoleh kemerdekaan penuh, satu pendirian yang berani dan belum pernah diutarakan oleh mana-mana pemimpin Indonesia sebelum ini.

Di Mesir, Encik Prabowo turut menyaksikan penandatanganan perjanjian gencatan senjata antara wakil Israel dengan Palestin yang dilakukan oleh Mesir dan Amerika.

Perjanjian itu menandakan bermulanya usaha pembinaan semula Gaza dengan sokongan penderma antarabangsa.

“Indonesia sentiasa berdiri bersama perjuangan rakyat Palestin,” kata Encik Prabowo kepada media antarabangsa selepas majlis itu.

“Kita mahukan keamanan yang adil, bukan keamanan yang menafikan maruah manusia.”

Dalam ucapan beliau di PBB pada September, Encik Prabowo turut menyatakan bahawa Indonesia bersedia menghantar 20,000 anggota pasukan pengaman ke Gaza jika keamanan dicapai dan diminta oleh Majlis Keselamatan PBB.

Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, memetik kenyataan presiden itu selepas mesyuarat Kabinet pada 12 Oktober, dengan berkata:

“Presiden menegaskan jika keamanan tercapai dan Indonesia diminta membantu, kita mesti bersedia.”

Beberapa jam sebelum sidang damai bermula, media Israel, The Times of Israel, mendakwa Encik Prabowo akan melakukan lawatan ke Israel pada 14 Oktober.

Namun, Kementerian Luar Negeri Indonesia menafikan dakwaan itu, dengan tegas menyatakan bahawa “tiada rancangan sedemikian”.

Akhbar, Jakarta Globe, turut memetik kenyataan rasmi Kementerian Luar:

“Tiada sebarang lawatan yang dirancang. Presiden akan pulang ke Indonesia sebaik sahaja sidang di Mesir selesai.”

Sebelum ini, Encik Prabowo dikenali sebagai penyokong kuat perjuangan Palestin malah beliau pernah menukar gambar profil media sosialnya kepada lukisan tembikai, simbol perpaduan dengan Palestin pada 2023.

Namun, pendiriannya di PBB mencerminkan pendekatan diplomatik yang lebih pragmatik.

Beliau membuka ruang kemungkinan hubungan diplomatik dengan Israel sekiranya syarat utama pengiktirafan negara Palestin dipenuhi.

Pendekatan itu menarik perhatian dunia, termasuk di Israel.

Wajah Encik Prabowo dipaparkan di papan iklan besar di Tel Aviv bersama pemimpin lain seperti Encik Trump; Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman; dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dengan slogan, ‘Get It Done’ (Selesaikan Tugas Ini) dipercayai merujuk kepada usaha pembebasan tebusan.

Ketika di Mesir, mikrofon terbuka menangkap Encik Prabowo sedang berbual dengan Encik Trump secara santai.

Beliau dilihat meminta Encik Trump untuk mengatur pertemuan dengan anaknya, Encik Eric Trump, dan menyebut juga “Don Jr” merujuk kepada Donald Trump Jr.

Kededuanya kelihatan tidak menyedari perbualan itu dirakam, dan tidak jelas sama ada ia berkait hal perniagaan.

Kededua anak Encik Trump merupakan Naib Presiden Eksekutif, Trump Organization, yang memiliki kelab golf di luar Jakarta.

Di Jakarta, para pegawai pemerintah dan ahli politik menyambut baik penglibatan Encik Prabowo di sidang itu sebagai bukti kewibawaan Indonesia di pentas antarabangsa.

Naib Speaker Majlis Perwakilan Rakyat, Encik Eddy Soeparno, berkata:

“Kehadiran Presiden Prabowo mencerminkan kepercayaan dunia terhadap kemampuan Indonesia membantu menyelesaikan konflik.

“Kami berbangga kerana Presiden mewakili sokongan abadi Indonesia terhadap keamanan dan keadilan bagi Palestin,” tambahnya.

Sidang damai Gaza bukan sahaja menandakan permulaan era baharu keamanan di Timur Tengah, bahkan juga pentas diplomatik penting bagi Encik Prabowo memperkukuh imejnya sebagai pemimpin sejagat yang pragmatik, berpengaruh, dan berani membawa suara Asia Tenggara ke meja rundingan dunia.

Seorang diplomat kanan Indonesia di Mesir, berkata:

“Dunia kini melihat Indonesia bukan sekadar penonton, malah pemain penting dalam membentuk masa depan keamanan sejagat.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg