Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Prabowo mahu tubuh pemerintah kuat dengan gabungan besar

Oct 10, 2024 | 10:33 AM
Presiden terpilih, Encik Prabowo Subianto (tengah), yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baharu pada 20 Oktober di majlis penutup Sidang Puncak Pelabur Harian BNI 2024 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta, 9 Oktober.
Presiden terpilih, Encik Prabowo Subianto (tengah), yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baharu pada 20 Oktober di majlis penutup Sidang Puncak Pelabur Harian BNI 2024 di Pusat Konvensyen Jakarta (JCC), Jakarta, 9 Oktober. - Foto INSTAGRAM PRABOWO

JAKARTA: Bakal presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menekankan keperluan bagi beliau membentuk sebuah pemerintah kuat bagi menguruskan sebuah negara besar seperti Indonesia.

Beliau berkata saiz Indonesia yang besar dan jumlah penduduknya yang ramai memerlukan gabungan politik lebih besar dan menyeluruh.

Encik Prabowo, yang akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Indonesia yang baru pada 20 Oktober, membuat kenyataan itu dalam ucapan di majlis penutup Sidang Puncak Pelabur Harian BNI 2024, di Pusat Konvensyen Jakarta, pada 9 Oktober.

Beliau berkata keluasan Indonesia sama dengan keluasan benua Eropah, yang terdiri dari 27 negara.

“Saya ingin membentuk pemerintah perpaduan nasional yang kuat, terpaksa menggunakan gabungan besar.

“Nanti orang akan kata, ‘Kabinet Prabowo gemuk, ramai’. Ya, negara kita besar, Bung! Negara kita luas dan setanding dengan Eropah. Eropah ada 27 negara, kita satu negara,” ujarnya.

Encik Prabowo juga membuat perbandingan antara Indonesia dengan Timor Leste.

Beliau menyatakan Timor Leste, yang mempunyai 1.34 juta penduduk dengan keluasan 15,000 kilometer persegi, mempunyai 28 menteri.

Sebaliknya, Indonesia, dengan 182 juta penduduk dan keluasan 1.8 juta kilometer persegi, hanya mempunyai 34 menteri Kabinet.

“Kalau kita negara autoritarian, satu parti sahaja mungkin boleh jalankan negara dengan 20 atau 24 menteri sahaja.

“Tetapi saya kena rangkul semua kelompok, mesti ada wakil dari timur, tengah, barat Indonesia, etnik B, etnik A. Inilah Indonesia dan sememangnya tugas kita berat,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan perpaduan dalam politik dan mengulangi pepatah lama, ‘1,000 kawan terlalu sedikit dan satu musuh terlalu ramai’.

Menurutnya, pertandingan politik sepatutnya seperti pertandingan sukan, yang harus diikuti semangat kerjasama selepas pertandingan berakhir.

“Pertandingan adalah pertandingan, perbezaan adalah perbezaan. Tetapi selepas semuanya selesai, kita bekerjasama untuk rakyat Indonesia,” katanya.

Encik Prabowo turut memuji Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, yang banyak membantu dalam proses peralihan pemerintah.

Encik Jokowi dikatakan turut terlibat dalam membantu penyusunan Kabinet baru bagi lima tahun akan datang.

Encik Prabowo mengakui beliau dibantu dengan baik oleh Encik Jokowi dan pasukannya, sekali gus menjadikan peralihan itu berjalan lancar.

“Saya rasa sangat terbantu dalam peralihan ini, sangat disokong oleh Pak Jokowi dan pasukannya. Malah dalam penyusunan Kabinet, ramai menteri yang akan datang mungkin juga merupakan menteri dalam Kabinet sekarang,” katanya.

Beliau berkata tiada masalah jika ramai menteri Kabinet di bawah pentadbiran Encik Jokowi terus berkhidmat dalam Kabinetnya kelak.

Yang paling penting, ujar Encik Prabowo, ialah keupayaan menteri tersebut berkhidmat dengan cemerlang demi rakyat.

“Kita tidak memikirkan siapa asalnya, agamanya, atau bangsanya. Yang penting, adalah kemampuan mereka untuk memberikan yang terbaik kepada negara,” kata beliau. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg