JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menyasarkan pengurangan besar-besaran syarikat milik negara (BUMN) dengan menutup lebih 750 entiti menjelang akhir 2026 bagi mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan pengurusan aset negara.

Beliau berkata jumlah BUMN yang sebelum ini melebihi 1,000 syarikat akan dikurangkan kepada sekitar 250 hingga 300 entiti sahaja menerusi proses penyusunan semula besar-besaran oleh pemerintah Indonesia.

“Kita mahu menjadi lebih rasional dan cekap. Saya mahu proses ini diselesaikan tahun ini (2026),” katanya ketika berucap pada penutupan Konvensyen Sains, Teknologi dan Industri (KSTI) 2026 di Jakarta pada 28 Jun.

Menurut Encik Prabowo, jumlah syarikat milik negara yang terlalu banyak menyebabkan kos operasi dan beban pentadbiran meningkat secara melampau, termasuk pembayaran gaji pengarah dan pesuruhjaya yang tinggi walaupun sebahagian syarikat gagal mencatat keuntungan.

“Bayangkan, jika kita tutup lebih 750 BUMN. Ada 750 ketua pegawai eksekutif, 750 pengarah didarab empat atau lima orang, kemudian 750 pesuruhjaya didarab 10 orang. Berapa besar kos pengurusan dan gaji mereka?” katanya.

“Ini semua wang rakyat. Syarikat tidak untung tetapi hanya membayar kos operasi,” tambah beliau.

Presiden Indonesia itu berkata penyusunan semula BUMN penting bagi memastikan aset negara benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan bukan sekadar menanggung beban kewangan pemerintah.

Beliau turut menegaskan proses penstrukturan semula itu perlu diselesaikan dalam tempoh dua tahun bagi mewujudkan sektor BUMN yang lebih telus, cekap dan berdaya saing.

“Kita mahu BUMN lebih efisien, lebih telus dan lebih baik dalam melayani rakyat,” katanya.

Encik Prabowo turut mendedahkan lebih 200 BUMN sudah dibubarkan setakat ini sebagai sebahagian daripada proses penyusunan semula sektor berkenaan.

Pada majlis sama, Ketua Badan Pengelola BUMN Indonesia, Encik Dony Oskaria, mengesahkan sasaran pemerintah ialah mengurangkan jumlah BUMN kepada sekitar 250 syarikat.

Beliau berkata langkah itu tidak akan menyebabkan pemberhentian pekerja walaupun ratusan syarikat dibubarkan.

“Presiden tentunya tidak mahu berlaku pemutusan hubungan kerja,” katanya.

Menurut beliau, semua pekerja akan terus diserap ke dalam syarikat yang digabungkan atau disusun semula di bawah entiti baharu.

“Tiada pekerja akan diberhentikan. Mereka akan terus bekerja di bawah entiti yang disatukan,” katanya lagi.

Encik Dony yang juga Ketua Pegawai Operasi dana kekayaan negara Indonesia, Danantara, berkata ketika ini sebanyak 1,077 BUMN sedang melalui proses penyusunan semula.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi menghapuskan kerugian tahunan sekitar 20 trilion rupiah ($1.7 bilion) yang ditanggung lebih separuh syarikat milik negara.

“Sebanyak 52 peratus BUMN mengalami kerugian dan ini membebankan kewangan negara,” katanya.

Menurut Encik Dony, proses penggabungan syarikat dijangka menjimatkan sekitar 50 trilion rupiah setahun, jauh melebihi kos gaji pekerja yang dianggarkan antara 2 trilion rupiah hingga 3 trilion rupiah.

Sebagai contoh, beliau berkata penggabungan beberapa anak syarikat di bawah syarikat tenaga negara, Pertamina, berjaya menjimatkan kira-kira AS$700 juta (S$970 juta).

Dalam pada itu, Encik Prabowo turut memberi respons terhadap cadangan golongan akademik supaya setiap BUMN memperuntukkan sebahagian keuntungan syarikat kepada penyelidikan dan inovasi.

Beliau menyifatkan cadangan itu baik tetapi menegaskan syarikat perlu terlebih dahulu mencatat keuntungan sebelum boleh menyalurkan dana kepada penyelidikan.

“Itu cadangan yang baik. Tetapi adakah syarikat-syarikat ini untung? Sekarang baru mereka mula mencatat keuntungan. Dengan Danantara, kita mula memperoleh keuntungan tahun ini,” katanya.

Konvensyen KSTI 2026 berlangsung dari 26 hingga 28 Jun di Jakarta dan dihadiri kira-kira 2,600 ahli akademik termasuk profesor, dekan dan rektor universiti.

Encik Prabowo menghadiri majlis pembukaan dan penutupan konvensyen berkenaan, yang dianjurkan Kementerian Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia.

Pada sesi pembukaan pada 26 Jun lalu, beliau menyampaikan syarahan hampir lima jam kepada ahli akademik, manakala ucapan penutup pada 28 Jun berlangsung hampir empat jam.

KSTI pertama kali diperkenalkan pada Ogos 2025 di Institut Teknologi Bandung sebagai inisiatif Encik Prabowo untuk menghubungkan sektor akademik, industri dan pembangunan negara. – Agensi berita.