JAKARTA: Bakal Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, mengunjungi sekutu pentingnya pada 11 April, hari kedua Aidilfitri, menyusuli pertemuannya dengan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo buat hari kedua berturut-turut.
Menurut seorang pembantu rapat, “perbincangan tidak rasmi” mengenai pembentukan Kabinet masa depan telah bermula.
Encik Prabowo mengadakan lawatan ke kediaman rasmi Ketua Menteri Ekonomi, Encik Airlangga Hartarto, seorang anggota Kabinet yang juga pengerusi Parti Golkar, iaitu ahli gabungan yang menyokong pencalonan Encik Prabowo semasa pilihan raya umum Februari.
Menurut laporan Tempo.Co., pertemuan secara tertutup itu melibatkan beberapa eksekutif Golkar, walaupun perincian perbincangan mereka tidak didedahkan,
Selain itu, Encik Prabowo bertemu Encik Zulkifli Hasan, pengerusi Parti Amanat Nasional (PAN), seorang lagi penyokong pencalonan Encik Prabowo.
Encik Sufmi Dasco Ahmad, pemangku pengerusi Parti Gerakan Indonesia Agung (Gerindra), secara berasingan berkata ahli gabungan itu telah memulakan perbincangan mengenai bakal Kabinet.
“Walaupun perbincangan tidak rasmi bermula beberapa hari lalu, keputusan penting akan menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan mengenai pertikaian Pilihan Raya Presiden,” kata Encik Dasco.
Calon presiden yang kalah, Encik Anies Baswedan dan Encik Ganjar Pranowo, mencabar kemenangan Encik Prabowo di Mahkamah Perlembagaan, yang dijangka tidak akan menyampaikan keputusannya hingga 22 April.
Timbalan Pengerusi Gerindra, Encik Habiburokhman, berkata Encik Prabowo sedang meminta nasihat dan pandangan daripada pelbagai pihak berhubung komposisi Kabinetnya.
“Walaupun pemimpin kita terlibat dalam perbincangan mengenai pelantikan Kabinet, Encik Prabowo akhirnya yang akan membuat keputusan muktamad,” ujar beliau.
Mengenai pertemuan Encik Prabowo sebelum ini dengan presiden, Encik Habiburokhman menekankan hasrat Encik Prabowo mencontohi pendekatan perdamaian Presiden Jokowi, dalam pembentukan pemerintah, termasuk penyertaan bekas musuh politik dalam Kabinet.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg