JAKARTA: Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, menolak tanggapan bahawa rakyat Indonesia merupakan bangsa yang malas dan gemar tidur, sebaliknya menegaskan masyarakat negara itu bekerja keras setiap hari demi menyara kehidupan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

Beliau berkata, persepsi negatif itu tidak menggambarkan realiti sebenar kerana jutaan rakyat Indonesia bangun seawal pagi untuk bekerja sebagai petani, nelayan, pekebun dan buruh, malah ada yang mempertaruhkan nyawa mencari rezeki di laut.

“Kita sering dipandang rendah dan diperlekehkan. Ada yang mengejek bangsa Indonesia di belakang kita, malah ada yang mengatakan rakyat kita malas dan suka tidur.

“Hakikatnya, rakyat kita bekerja keras. Nelayan yang turun ke laut mempertaruhkan nyawa untuk mencari rezeki. Di seluruh negara, rakyat kita berusaha setiap hari demi kehidupan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pecah tanah projek gas asli cecair (LNG) Abadi Masela di Kepulauan Tanimbar, Maluku, pada 16 Julai.

Encik Prabowo berkata, amalan berehat ketika cuaca terlalu panas bukan tanda kemalasan, sebaliknya mencerminkan kebijaksanaan masyarakat tempatan yang diwarisi turun-temurun.

“Kalau cuaca terlalu panas, kebijaksanaan nenek moyang mengajar kita supaya mengelakkan bekerja ketika matahari berada di kemuncaknya.

“Ada bangsa lain yang tidak melihat bahawa rakyat kita bangun sebelum subuh. Ada yang ke sawah, ke ladang, mencari air, mengutip kayu, memburu dan turun ke laut ketika masih gelap. Mereka pulang juga ketika hari sudah gelap,” katanya.

Dalam ucapan sama, Encik Prabowo mengingatkan semua pihak supaya memastikan projek LNG Abadi Masela dilaksanakan dengan teliti dan berintegriti supaya manfaatnya dapat dinikmati rakyat.

Beliau menegaskan pemerintah bertanggungjawab meningkatkan taraf hidup masyarakat, khususnya golongan yang masih bergelut dengan tekanan ekonomi.

“Projek ini mesti dilaksanakan dengan sebaik-baiknya kerana hasilnya adalah untuk rakyat. Tanggungjawab pemerintah ialah memastikan kekayaan negara memberi manfaat kepada seluruh rakyat Indonesia,” katanya.

Majlis pecah tanah itu turut menandakan bermulanya pembinaan projek LNG Abadi Masela bernilai kira-kira AS$21 bilion (S$27 bilion), sekali gus menamatkan hampir tiga dekad ketidakpastian terhadap antara projek tenaga terbesar Indonesia.

Projek di Blok Masela, timur Indonesia itu dibangunkan oleh syarikat Jepun, Inpex Corporation, bersama syarikat tenaga milik negara Indonesia, Pertamina, serta syarikat Malaysia, Petronas.

Apabila siap, projek berkenaan dijangka menjadi antara sumber gas asli terbesar Indonesia, sekali gus memperkukuh keselamatan tenaga negara di samping mengekalkan kedudukannya sebagai antara pengeksport utama LNG dunia.

Menteri Tenaga dan Sumber Mineral Indonesia, Encik Bahlil Lahadalia, berkata projek itu dijangka mula beroperasi sekitar 2029 atau 2030.

Menurutnya, kemudahan berkenaan mampu menghasilkan 9.5 juta tan LNG setahun, selain mengeluarkan 150 juta kaki padu standard gas saluran paip sehari serta 35,000 tong kondensat setiap hari.

“Kira-kira 60 peratus daripada pengeluaran gas akan diperuntukkan kepada pasaran domestik, dengan keutamaan diberikan kepada industri hiliran, khususnya pengeluaran baja serta bahan mentah untuk sektor perindustrian,” katanya.

Beliau berkata projek itu turut menggunakan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS), menjadikannya antara projek LNG berskala besar pertama di Indonesia yang menggabungkan langkah pengurangan pelepasan karbon sejak peringkat awal pembangunan.

Projek Abadi Masela mula dicadangkan pada penghujung 1990-an, namun pelaksanaannya berulang kali tertangguh akibat perubahan dasar kerajaan, semakan pelan pembangunan dan perubahan keutamaan pelaburan.

Pemerhati melihat pelaksanaan projek itu sebagai ujian penting terhadap keupayaan Indonesia merealisasikan pelaburan mega serta meningkatkan keyakinan pelabur asing bahawa projek bernilai berbilion dolar mampu disiapkan mengikut perancangan.

Selain menyokong keperluan tenaga domestik, projek itu dijangka merangsang pembangunan ekonomi di wilayah timur Indonesia, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta mengukuhkan kedudukan negara sebagai pemain utama dalam industri gas asli cecair di rantau Asia Pasifik. - Agensi berita