Subuh
5:42
Syuruk
7:00
Zuhur
1:05
Asar
4:20
Maghrib
7:09
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Presiden AS bimbang Putin tiada jalan keluar daripada perang Ukraine

May 11, 2022 | 05:30 AM



MARYLAND/KYIV: Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata beliau bimbang Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tidak mempunyai jalan keluar daripada perang Ukraine.



Bercakap dalam satu majlis pengumpulan dana politik di pinggir bandar Washington kelmarin, Encik Biden berkata Encik Putin telah tersilap apabila beliau terlalu yakin bahawa pencerobohan Ukraine akan memecahbelahkan Perjanjian Pertubuhan Atlantik Utara (Nato) dan Kesatuan Eropah (EU).



Sebaliknya, Amerika dan banyak negara Eropah telah bersatu memihak kepada Ukraine.



Serangan Russia ke atas ibu kota Ukraine, Kyiv, telah dipatahkan pada Mac lalu ekoran tentangan kuat askar Ukraine.



Russia kini menghantar lebih banyak tentera ke timur Ukraine sebagai serangan besar-besaran mulai bulan lalu di bahagian timur negara itu tetapi membuat kemajuan amat perlahan.



Encik Biden berkata Encik Putin seorang yang sangat berkira dan masalah yang beliau bimbangkan sekarang ialah pemimpin Russia itu "tidak mempunyai jalan keluar sekarang, dan saya cuba memikirkan apa yang kami lakukan mengenainya".



Sementara itu, presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata kegiatan perdagangan di pelabuhan negara itu terhenti dan menggesa masyarakat antarabangsa mengambil langkah segera untuk menamatkan sekatan Russia bagi membenarkan penghantaran gandum, sekali gus mencegah krisis makanan global.



Beliau membuat komen itu selepas bercakap bersama Presiden Majlis Eropah, Encik Charles Michel, yang melawat bandar Odesa - pelabuhan Laut Hitam utama untuk mengeksport produk pertanian di mana peluru berpandu menyerang tapak pelancongan dan memusnahkan beberapa bangunan di bandar itu kelmarin.



"Buat kali pertama dalam beberapa dekad, di Odesa tidak ada pergerakan tetap kapal pedagang, tidak ada kerja pelabuhan rutin. Ini mungkin tidak pernah berlaku di Odesa sejak Perang Dunia Kedua," kata Encik Zelensky dalam ucapan video.



"Dan ini adalah tamparan bukan sahaja kepada Ukraine. Tanpa eksport pertanian kami, puluhan negara di bahagian lain dunia sudah berada di ambang kekurangan makanan.



"Dan dari masa ke masa, keadaan boleh menjadi lebih menggerunkan."



Ukraine adalah pengeksport jagung keempat terbesar di dunia pada musim 2020/21 dan pengeksport gandum nombor enam dunia, menurut data Majlis Bijian Antarabangsa.



Namun kini, hampir 25 juta tan bijirin terkandas di Ukraine, kata seorang pegawai agensi makanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Jumaat lalu.



"Langkah segera mesti diambil untuk mengatasi sekatan pelabuhan Ukraine bagi eksport gandum," kata Encik Zelensky.



Beliau tidak menyatakan apakah langkah yang dimahukannya. Namun, negara Nato termasuk Amerika telah menolak campur tangan bersenjata kerana bimbang akan mencetuskan perang lebih besar.



Sementara itu, beberapa bangunan di Odesa runtuh sehari selepas tentera Kremlin menyerang pelabuhan itu dengan peluru berpandu kelmarin.



Ini sedang Encik Putin mengetuai satu perayaan menandakan kemenangan Soviet ke atas Nazi Jerman dalam Perang Dunia Kedua.



Ekoran serangan tersebut, seorang penduduk terbunuh dan lima lagi cedera apabila tujuh peluru berpandu terkena pusat beli-belah dan depoh, kata tentera Ukraine di Facebook. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >