Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Presiden Dissanayake menang besar dalam pilihan raya Sri Lanka

Nov 15, 2024 | 5:11 PM
Presiden Sri Lanka yang juga ketua Gabungan Kuasa Rakyat Nasional (NPP), Encik Anura Kumara Dissanayake, memberi isyarat selepas membuang undi pada hari pilihan raya Parlimen di Colombo, Sri Lanka, pada 14 November.
Presiden Sri Lanka yang juga ketua Gabungan Kuasa Rakyat Nasional (NPP), Encik Anura Kumara Dissanayake, memberi isyarat selepas membuang undi pada hari pilihan raya Parlimen di Colombo, Sri Lanka, pada 14 November. - Foto REUTERS

COLOMBO: Gabungan berhaluan kiri Presiden Sri Lanka, Encik Anura Kumara Dissanayake, mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya umum tergempar negara itu.

Beliau memperoleh mandat besar untuk melaksanakan rancangan utama bagi menangani kemiskinan dan rasuah.

Kemenangan itu memberi petanda perubahan besar dalam landskap politik Sri Lanka, dengan Encik Dissanayake berusaha memperkenalkan pembaharuan bagi memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat krisis kewangan.

Ia memberi kelebihan kepada beliau untuk melaksanakan dasar dalam usaha menyokong pemulihan Sri Lanka daripada krisis ekonomi 2022, yang mencetus pergolakan politik di negara dengan 22 juta penduduk itu.

Gabungan Kuasa Rakyat Nasional (NPP) pimpinanya yang berideologi Marxis memperoleh majoriti dua pertiga dengan memenangi 141 daripada 196 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya.

Unjuran media tempatan menunjukkan jumlah itu boleh meningkat kepada lebih 150 kerusi selepas agihan kerusi tambahan melalui sistem perwakilan.

Keputusan itu mencerminkan ketidakpuasan rakyat terhadap politik tradisional, terutama terhadap keluarga Rajapaksa yang selama ini menguasai politik Sri Lanka.

Parti Sri Lanka Podujana Peramuna yang diketuai keluarga Rajapaksa hanya memperoleh dua kerusi, berkurangan dengan ketara daripada 145 kerusi yang dimenangi mereka dalam dewan perundangan lalu.

Penyelidik di Pusat Alternatif Dasar Colombo, Cik Bhavani Fonseka, berkata: “Presiden sekarang mempunyai mandat besar untuk melaksanakan pembaharuan, tetapi juga menghadapi jangkaan yang sangat besar daripada rakyat.

“Rakyat ingin melihat perubahan yang nyata, lebih-lebih lagi dalam kos sara hidup.”

Kemenangan itu turut memberi kekuatan kepada Encik Dissanayake untuk mengekalkan kestabilan politik dan meneruskan janji beliau bagi melaksanakan pembaharuan ekonomi yang menyeluruh.

Cabaran besar menanti kerana beliau berjanji mengubah beberapa terma dalam program bantuan kewangan dari Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) yang telah membantu Sri Lanka keluar daripada krisis ekonomi yang melanda negara itu.

Meskipun ekonomi negara mula pulih secara perlahan, kos sara hidup yang tinggi terus menjadi isu utama bagi rakyat, terutama golongan miskin.

Dengan memperoleh sokongan lebih meluas, termasuk daripada masyarakat minoriti, Encik Dissanayake kini mempunyai peluang melaksanakan reformasi yang lebih besar.

Namun, kebimbangan timbul mengenai kesan perubahan dalam terma bantuan IMF, yang mungkin melambatkan pembayaran semula pinjaman dan mempengaruhi sasaran lebihan utama 2.3 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (GDP) pada 2025.

Meskipun Sri Lanka sedang berusaha bangkit daripada krisis ekonomi terburuk dalam sejarahnya, Encik Dissanayake berazam untuk terus menyesuaikan dasar IMF agar lebih memberi manfaat kepada rakyat, terutama dalam sektor kebajikan dan usaha mengurangkan cukai.

Penyelidik ekonomi di Softlogic Stockbrokers Colombo, Encik Raynal Wickremeratne, berkata: “Soalan utama sekarang ialah sama ada kemenangan politik ini akan membawa kesan kepada dasar ekonomi negara.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg