PRESIDEN Halimah Yacob bertemu rakyat Singapura di luar negara di London pada majlis resepsi yang diadakan pada Sabtu, semasa lawatan empat harinya ke ibu kota Britain itu untuk menghadiri pertabalan Raja Charles III.
Ini adalah kali kedua seorang presiden Republik Singapura menghadiri majlis resepsi Singapura di luar negara di London. Yang pertama adalah semasa lawatan Presiden Tony Tan pada Oktober 2014.
Dalam ucapannya, Puan Halimah menggesa rakyat Singapura di luar negara agar terus berhubung dengan Singapura dan orang tersayang yang masih menetap di tanah air mereka.
Beliau berkata: "Terdapat banyak peluang untuk rakyat Singapura menyumbang kepada bab seterusnya dalam kisah Singapura, seperti inisiatif Forward Singapore yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dan pasukan menteri 4G.
"Saya menggesa anda untuk menyumbangkan perspektif unik anda dan terus mengikuti perkembangan di dalam negara sambil kita terus menjadikan Singapura sebagai kediaman untuk semua rakyat Singapura, walaupun anda berada di luar negara."
Puan Halimah yang turut menyentuh hubungan Singapura-Britain, berkata kedua-dua negara kekal sebagai rakan kongsi penting dengan ikatan sejarah yang mendalam serta menjangkau dua abad.
Perjanjian Ekonomi Digital UK-Singapura berkuat kuasa pada Jun 2022 dan memorandum persefahaman mengenai Rangka Kerja Ekonomi Hijau UK-Singapura telah ditandatangani pada Mac 2023.
"Perjanjian ini (membenarkan) negara kita membangun penyelesaian untuk menangani cabaran bersama, seperti perubahan iklim, dan mengembangkan peluang ekonomi untuk perniagaan kita.
"Kedua-dua pihak juga sedang men merundingkan Perjanjian Pelaburan Dua Hala UK-Singapura yang baru, untuk menggantikan perjanjian sedia ada yang mula berkuat kuasa pada 1975," tambahnya.
Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata, dalam satu kenyataan berasingan, Puan Halimah turut menghadiri majlis resepsi tetamu luar negara yang dihoskan oleh Raja Charles III, acara untuk pemimpin Komanwel yang dihoskan oleh Setiausaha Agung Komanwel, Cik Patricia Scotland, dan acara pertabalan negara-negara pulau kecil membangun, dengan kerajaan British tampil sebagai tuan rumah.
Beliau juga mengadakan pertemuan berasingan dengan Presiden Vietnam yang baru dilantin, Encik Vo Van Thuong dan Presiden Fiji, Encik Ratu Wiliame Katonivere. Semasa mesyuarat ini, Puan Halimah mengambil kira hubungan dua hala dan membincangkan perkembangan global dan serantau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg