KAHERAH: Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi, pada 22 September mengeluarkan pengampunan kepada aktivis terkenal Encik Alaa Abdel Fattah, yang telah dipenjara hampir sedekad, menurut ahli jawatankuasa pengampunan presiden dan peguamnya.
Encik Alaa, 43 tahun, warganegara Britain-Mesir, merupakan antara tokoh utama kebangkitan rakyat Mesir pada 2011. Beliau berulang kali dipenjarakan sejak itu dan kali terakhir ditahan pada 2019. Pada Disember 2021, beliau dijatuhi hukuman lima tahun penjara atas tuduhan “menyebarkan berita palsu” selepas berkongsi catatan Facebook mengenai dakwaan penyeksaan dalam penjara Mesir.
Encik Tarek al-Awady, ahli jawatankuasa pengampunan presiden, berkata semua prosedur berkaitan telah selesai dan penjara sedang menunggu dekri rasmi untuk dilaksanakan.
“Beliau akan dibebaskan terus dari Penjara Wadi al-Natrun,” katanya kepada AFP, merujuk kepada kompleks penjara utama di pinggir Kaherah.
Saluran berita milik negara, Al-Qahera News, melaporkan bahawa Encik Sisi telah mengampunkan “sebilangan individu yang disabitkan kesalahan selepas menjalani prosedur perlembagaan dan undang-undang,” termasuk Encik Alaa.
Berita itu disambut penuh emosi oleh keluarganya. Ibu beliau, Cik Laila Soueif, baru sahaja menamatkan mogok lapar selama 10 bulan sebagai tanda protes. Encik Alaa sendiri memulakan mogok lapar sejak awal September, selepas melakukan mogok separa sejak Mac lalu sebagai tanda solidariti dengan ibunya.
Adik perempuannya, Cik Sanaa Seif, menulis di platform X: “Presiden Sisi telah mengampunkan abang saya! Saya dan ibu dalam perjalanan ke penjara untuk mengetahui dari mana dan bila Alaa akan dibebaskan. Saya tidak percaya akhirnya, hidup kami dapat kembali seperti biasa!” Sejurus selepas itu, kakaknya Cik Mona Seif turut menulis: “Jantung saya seperti mahu berhenti.”
Peguam hak asasi terkenal, Encik Khaled Ali, mengesahkan pengampunan itu. Namun, katanya, “Dekri pengampunan belum diterbitkan dalam warta rasmi. Proses pembebasan tidak akan bermula sehingga itu berlaku.”
Pengampunan ini menyusul selepas Presiden Sisi awal bulan September meminta pihak berkuasa meneliti petisyen Majlis Hak Asasi Manusia Kebangsaan untuk membebaskan beberapa individu, termasuk Encik Alaa.
Mahkamah jenayah Kaherah sebelum ini juga memutuskan untuk mengeluarkan nama beliau daripada senarai pengganas negara, setelah siasatan mendapati tiada kaitan dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin.
Badan pemerhati hak asasi manusia Human Rights Watch (HRW) menyifatkan pengampunan ini sebagai “berita baik yang sudah lama ditunggu”, namun menegaskan ribuan lagi masih dipenjara. “Walaupun kami meraikan pengampunan ini, ribuan orang seperti Alaa masih meringkuk di penjara Mesir hanya kerana menggunakan hak kebebasan bersuara,” kata Encik Amr Magdi, penyelidik kanan HRW bagi Asia Barat dan Afrika Utara.
Kerajaan Britain secara konsisten membangkitkan kes Encik Alaa dalam pertemuan dengan pihak Mesir, termasuk semasa perbincangan antara Perdana Menteri Keir Starmer dan Presiden Sisi.
Pada Mei lalu, panel pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memutuskan bahawa penahanannya adalah “sewenang-wenangnya dan menyalahi undang-undang” serta menuntut pembebasan segera.
Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Encik Volker Turk, turut mengecam amalan penahanan berulang iaitu taktik menambah tuduhan baharu terhadap tahanan sebelum tempoh tahanan reman tamat.
Sejak 2022, pentadbiran Sisi telah melepaskan ratusan tahanan politik, termasuk beberapa tokoh terkenal seperti peguam hak asasi Encik Mohamed al-Baqer. Namun, beribu-ribu lagi aktivis dan ahli politik masih ditahan.
Encik Alaa Abdel Fattah sepatutnya dibebaskan pada September 2024, tetapi kini akan melangkah keluar setahun lebih awal. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg