Topik diikuti
Pergi ke BHkuPresiden Taiwan bincang 'keadaan serantau' sebelum bertemu Speaker AS

Presiden Taiwan bincang 'keadaan serantau' sebelum bertemu Speaker AS
TAIPEI: Presiden Taiwan, Cik Tsai Ing-wen, tiba di Los Angeles pada petang Selasa (waktu tempatan) menjelang pertemuannya dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat, Encik Kevin McCarthy, pada Rabu di California, yang dituntut China sebagai "satu pertemuan yang tidak seharusnya diadakan".
China, yang mendakwa Taiwan sebagai wilayahnya, telah mengancam tindak balas jika pertemuan itu berlaku.
Selepas Speaker Dewan Perwakilan sebelum ini, Cik Nancy Pelosi, melawat Taipei pada Ogos 2022, China mengadakan latihan perang besar-besaran di sekitar Taiwan.
Cik Tsai bertemu pegawai kanan keselamatan Taiwan pada Selasa untuk membincangkan "keadaan serantau" menjelang pertemuannya di Amerika.
Pejabat Presiden Taiwan berkata Cik Tsai mengadakan sidang video dari Belize, negara persinggahan terakhirnya dalam lawatan ke rantau Amerika Tengah sebelum pergi ke Amerika.
Beliau tiba di Los Angeles pada Selasa petang dan dijadual pulang ke Taipei pada Jumaat.
Cik Tsai "mendengar taklimat mengenai keadaan serantau", kata pejabatnya dalam satu kenyataan.
"Presiden meminta unit yang berkaitan untuk terus mengawasi situasi sekeliling, dan untuk membolehkan delegasi pelawat terus memahami situasi dalam masa nyata," tambah kenyataan itu, merujuk kepada langkah untuk memastikan Cik Tsai dan pasukannya sentiasa dikemas kini semasa mereka berada di luar negara.
Taiwan setakat ini tidak melaporkan sebarang pergerakan luar biasa tentera China menjelang mesyuarat bersama Encik McCarthy.
Beijing telah memberi amaran kepada Encik McCarthy, seorang pemimpin Republikan, bahawa beliau "bermain api" dengan bertemu Cik Tsai.
"China sangat menentang aturan Amerika supaya Cik Tsai Ing-wen transit melalui wilayahnya dan menentang keras pertemuan antara Speaker Dewan Perwakilan Encik Kevin McCarthy, pemimpin Amerika ketiga tertinggi dan Cik Tsai Ing-wen," kata jurucakap kementerian luarnya, Cik Mao Ning, kepada pemberita.
"Ia secara serius melanggar prinsip satu China dan tiga penyataan bersama China-Amerika dan secara serius menjejas kedaulatan dan integriti wilayah China," katanya. - Reuters. AFP.
"China sangat menentang aturan Amerika supaya Cik Tsai Ing-wen transit melalui wilayahnya dan menentang keras pertemuan antara Speaker Dewan Perwakilan Encik Kevin McCarthy, pemimpin Amerika ketiga tertinggi dan Cik Tsai Ing-wen. Ia secara serius melanggar prinsip satu China dan tiga penyataan bersama China-Amerika dan secara serius menjejas kedaulatan dan integriti wilayah China." - Cik Mao Ning, jurucakap kementerian luar China.