MOSCOW: Encik Mikhail Gorbachev, yang menamatkan Perang Dingin tanpa pertumpahan darah namun gagal mengelakkan keruntuhan Soviet Union, meninggal dunia pada Selasa (30 Ogos), pada usia 91 tahun, menurut agensi berita Russia yang memetik pegawai hospital. Mendiang Gorbachev, adalah presiden terakhir bagi Soviet dan telah mengadakan perjanjian pengurangan senjata dengan Amerika Syarikat dan rakan kuasa Eropah, bagi menyatukan semula perpecahan di benua itu termasuk penyatuan dua negara Jerman - Timur dan Barat. "Encik Mikhail Gorbachev meninggal dunia setelah menghidap penyakit serius berpanjangan," agensi berita Russia, Interfax, memetik satu kenyataan Central Clinical Hospital. Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menzahirkan "takziah yang mendalam" atas kematian Encik Gorbachev, jurucakap Kremlin, Encik Dmitry Peskov, memberitahu agensi berita Interfax. "Beliau akan menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang Gorbachev kemudian," ujarnya. Selepas puluhan tahun menghadapi ketegangan dan sengketa Perang Dingin, Encik Gorbachev membawa Soviet Union rapat kepada Barat berbanding masa-masa sebelumnya selepas Perang Dunia Kedua.