KUALA LUMPUR: Malaysia mencatat jumlah kes jangkitan Covid-19 tertinggi dalam sehari apabila ia merekodkan 9,180 kes baru semalam - sekali gus menjadikan 817,838 jumlah keseluruhan kes.

Jumlah kes semalam mengatasi jumlah kes harian tertinggi sebanyak 9,020 yang pernah dicatatkan pada 29 Mei lalu.

Peningkatan jumlah kes seharian berlaku sedang Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencatatkan jumlah pemberian vaksin harian tertinggi dengan 376,909 dos vaksin diberikan di seluruh negara, kelmarin.

Akhbar Berita Harian Malaysia (BHM) semalam, melaporkan kadar pemberian vaksin harian berjaya mencatatkan lebih 300,000 dos untuk empat hari berturut-turut, bermula Isnin lalu dengan 313,761 dos, Selasa (340,043) dan kelmarin (375,842).

Peningkatan kapasiti harian itu juga membolehkan Malaysia mencatatkan pemberian lebih 1.4 juta dos vaksin hanya dalam tempoh empat hari.

Memburukkan lagi keadaan, Malaysia kini berdepan dengan kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 yang tinggi - mencatatkan nilai RT 1.09.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata bersandarkan analisis Pembendungan Risiko, Pendedahan dan Jangkitan (SEIR), jumlah kes harian mampu mencecah ke angka itu susulan peningkatan nilai RT ketika ini.

Kelmarin, Malaysia mencatatkan kes baru sebanyak 8,868, jumlah harian kedua tertinggi sejak virus dikesan di negara ini tahun lalu.

Malaysia turut mencatat 135 kematian baru membabitkan mangsa berumur 29 hingga 90 tahun, iaitu angka harian tertinggi setakat ini, yang membawa kepada jumlah kumulatif 5,903 korban.

Menerusi data dikongsi Dr Noor Hisham di laman media sosial malam kelmarin, Putrajaya mencatatkan nilai RT tertinggi iaitu 1.28 berbanding purata kebangsaan 1.09.

Kebanyakan negeri mencatatkan RT melebihi nilai 1.0 manakala empat negeri mencatat nilai bawah satu selain Perlis merekodkan satu kes.

Katanya, purata kebangsaan semalam menyaksikan peningkatan sebanyak 0.2 berbanding 1.07 yang dicatatkan kelmarin.

Selain Putrajaya, kebanyakan negeri turut mencatatkan RT melebihi purata kebangsaan. Perak mencatatkan nilai RT 1.18, manakala Kuala Lumpur (1.16), Selangor (1.14) dan Pahang (1.10).

Negeri yang melepasi RT 1.0 pula ialah Kedah (1.08), Sabah dan Pulau Pinang masing-masing 1.07, Melaka (1.06), Terengganu (1.04) dan Negeri Sembilan (1.02).

Empat negeri di bawah RT 1.0 ialah Labuan dan Sarawak masing-masing mencatatkan 0.86, Kelantan (0.90) serta Johor (0.96).

Nilai RT merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata dengan peningkatan PICK, Malaysia kini mencatatkan rekod pemberian sebanyak 10,413,270 juta dos vaksin sejak program inokulasi bermula pada 24 Februari lalu.

Daripada jumlah itu, katanya, kira-kira 13.6 peratus daripada hampir 23.4 juta populasi dewasa di negara ini sudah menerima dua suntikan lengkap vaksin Covid-19, manakala 7,222,481 orang atau 30.9 peratus sudah menerima dos pertama setakat semalam.

"Jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat semalam berjumlah 10,413,270 dos. Bagi tempoh 24 jam lalu, sebanyak 376,909 dos diberikan semalam, iaitu yang tertinggi setakat ini," katanya menerusi Twitter, semalam. - Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti