Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puluhan pendatang asing tanpa izin dikhuatiri maut di Tunisia selepas bot karam

Mar 25, 2023 | 3:59 PM
Pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Afrika yang kini terkandas di Tunisa, mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Tunis, Tunisia, menuntut mereka dipindahkan keluar dari negara itu.
Pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Afrika yang kini terkandas di Tunisa, mengadakan bantahan di luar ibu pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Tunis, Tunisia, menuntut mereka dipindahkan keluar dari negara itu. - Foto: REUTERS

TUNIS: Sekurang-kurangnya 34 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari sub-Sahara Afrika hilang di perairan Tunisia semalam selepas bot mereka karam, kata seorang pegawai mahkamah.

Ia adalah kes terbaru, rentetan tragedi membabitkan PATI yang kerap merentas Laut Mediterranean sepanjang bulan ini bagi mencari kehidupan lebih baik di Eropah.

Jurucakap mahkamah di bandar pelabuhan itu, Encik Fawzi El Masmoudi, berkata, bot yang membawa seramai 38 orang penumpang itu meninggalkan Sfax pada Khamis lalu dalam percubaannya untuk menyeberang ke Itali.

Katanya, mereka yang berada di dalam bot itu sempat memberitahu bahawa 'pengawal pantai Tunisia' merampas enjin, memukul sebahagian daripada penumpang dan meninggalkan kesemua pendatang terkandas di laut.

Kes bot karam terbaru itu adalah satu daripada sekurang-kurangnya empat kes direkodkan di Tunisia bulan ini.

Ia berlaku dua hari selepas lima pendatang Afrika sub-Sahara mati lemas dan 28 lagi hilang apabila sebuah bot membawa 38 pendatang, kebanyakannya dari Ivory Coast, terbalik.

Sementara itu, di Texas pada Jumaat, pihak berkuasa bertindak menghentikan perjalanan kereta api yang dinaiki sekumpulan PATI selepas dua daripada mereka disahkan meninggal dunia.

Tindakan itu diambil selepas pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan daripada seorang individu yang tidak mendedahkan namanya.

Menurut polis, Peronda Sempadan Amerika Syarikat (AS) menghentikan kereta api di timur Knippa, sebuah komuniti kecil di selatan Texas, berhampiran bandar San Antonio.

"Kira-kira 15 PATI memerlukan rawatan perubatan segera, lima daripada mereka diterbangkan ke hospital di kawasan San Antonio dan lima lagi dihantar ke hospital berdekatan tetapi keadaan mereka belum diketahui.

"Dua daripada pendatang disahkan meninggal dunia," kata Jabatan Polis Uvalde dalam satu kenyataan.

Polis berkata, sebuah syarikat kereta api pengangkutan barang, Union Pacific, akan mengetuai siasatan berhubung tragedi itu.

Menurut KSAT.com, suhu berhampiran lokasi kereta api dihentikan mencecah 30 darjah Celsius pada lewat petang. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg