Pusat beli-belah Karachi dijilat api ragut 23 nyawa, berpuluh hilang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pusat beli-belah Karachi dijilat api ragut 23 nyawa, berpuluh hilang

Jan 20, 2026 | 6:05 PM

Pusat beli-belah Karachi dijilat api ragut 23 nyawa, berpuluh hilang

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
kebakaran, Pusat beli-belah, Karachi
Para anggota kecemasan bertungkus-lumus bagi mencari dan menyelamat mangsa yang terperangkap dalam kebakaran di pusat beli-belah Gul Plaza di Karachi, Pakistan, pada 19 Januari. - Foto REUTERS

KARACHI: Kebakaran melanda pusat beli-belah yang sesak di Karachi hujung minggu lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 23 orang dengan puluhan lain dilaporkan hilang.

Tragedi terbaru itu dipersalahkan oleh perancang bandar dan pemilik kedai atas salah urus kronik di bandar terbesar Pakistan itu.

Jalan raya di luar pusat beli-belah itu sesak pada 19 Januari dengan ratusan penduduk berkumpul di sekitar bangunan yang ranap dijilat api.

Peniaga kelihatan sedih, merenung mata pencarian yang musnah dalam sekelip mata, manakala keluarga mendesak polis agar membenarkan mereka masuk ke bangunan yang terbakar untuk mencari anggota tersayang.

Anggota bomba memadamkan kebakaran di plaza bertingkat lewat Ahad, hampir 24 jam selepas kejadian berlaku, membolehkan pasukan penyelamat memasuki bangunan.

Pihak berkuasa bimbang jumlah kematian dijangka meningkat ketika mereka mencari 46 orang yang dilaporkan hilang, kata ketua polis, Encik Asad Raza.

Hanya enam mayat yang telah dikenal pasti setakat ini. Selebihnya memerlukan ujian DNA kerana “mayat-mayat rentung sukar dikenali,” kata pakar bedah polis, Dr Summaiya Syed.

Beliau berkata doktor sedang mengumpulkan sampel DNA daripada saudara-mara individu yang hilang itu.

Menurut media tempatan, sekurang-kurangnya 26 orang maut dalam kebakaran itu.

Terdahulu, Ketua Menteri wilayah Sindh, Encik Murad Ali Shah, memberitahu sidang akhbar di Karachi bahawa pasukan penyelamat sedang mencari mangsa yang terselamat dan mereka yang terkorban.

Beliau berkata mereka yang terkorban dalam kebakaran itu termasuk seorang anggota bomba dan pemerintah akan memberi pampasan sebanyak 10 juta rupee ($46,000) kepada keluarga setiap mangsa yang terkorban.

Menjelang malam, penyelamat terus bergelut untuk sampai ke bahagian bangunan yang rosak teruk untuk mencari mangsa yang dipercayai terperangkap.

Datuk Bandar, Encik Murtaza Wahab, berkata operasi menyelamat akan diteruskan sehingga semua yang hilang dapat dikenal pasti.

Kebakaran itu merebak dengan cepat melalui kedai-kedai yang menjual kosmetik, pakaian dan barangan plastik, kata Dr Abid Jalal Sheikh, ketua pegawai penyelamat Karachi.

Polis berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran itu.

Karachi mempunyai sejarah kebakaran maut yang sering dipersalahkan atas piawaian keselamatan yang lemah dan pembinaan secara haram.

Pada November 2023, kebakaran di sebuah pusat beli-belah di bandar itu mengorbankan 10 orang dan mencederakan 22 yang lain.

Kebakaran besar di sebuah kilang pakaian di Karachi pada 2012 pula mengorbankan 260 orang. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg