AMMAN: Bekas putera mahkota Jordan, Putera Hamza bin al-Hussein, yang diletakkan di bawah tahanan di rumah tahun lalu, mengumumkan kelmarin melepaskan gelaran dirajanya sebagai membantah dasar-dasar kerajaan Jordan sekarang.
Putera Hamza telah dituduh April lalu kerana cuba menggugat kestabilan kesultanan negeri itu dalam satu percubaan rampasan kuasa yang dipengaruhi pihak asing.
Tetapi beliau terlepas daripada hukuman setelah berjanji untuk setia kepada Raja Abdullah, abangnya dari berlainan ibu.
Dalam surat di akaun Twitter, Putera Hamza berkata :
"Selepas apa yang saya saksikan sejak beberapa tahun lalu, saya telah membuat kesimpulan bahawa keyakinan peribadi dan nilai yang ayah tanamkan (Almarhum Raja Hussein) dalam diri saya tidak selaras dengan pendekatan, trend atau kaedah moden institusi kita," katanya.
Putera Hamza, 42, tahun telah dinamakan sebagai Putera Mahkota apabila Raja Hussein meninggal dunia pada tahun 1999 dan Raja Abdullah dilantik menjadi Raja.
Bagaimanapun beliau kehilangan gelaran itu lima tahun kemudian apabila Raja Abdullah melantik anak lelakinya sendiri sebagai Putera Mahkota Jordan.
Kelmarin, melalui kenyataan ringkasnya, beliau berkata akan terus memberi khidmat kepada Jordan atas nama rakyat biasa tanpa menyebut sebagai raja atau peranannya pada masa hadapan.
Kenyataan yang dikeluarkan pada hari permulaan bulan suci Ramadan, dijangka dapat meraih simpati rakyat Jordan yang konservatif yang cuba dimenangi sokongan mereka oleh Putera Hamza sejak beberapa tahun lalu.
Krisis tahun lalu telah mendorong beberapa kuasa utama Barat dan serantau memberi sokongan secara terbuka kepada Raja Abdullah.
Sokongan seperti itu jarang ditunjukkan kepada sekutu kuat Amerika Syarikat (AS) itu yang telah memainkan peranan penting bagi mengekalkan keselamatan di rantau tersebut. - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg