Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Putera Harry hadapi kecaman susulan pendedahan dalam autobiografi 'Spare'

Jan 8, 2023 | 5:30 AM
UNDANG KRITIKAN: Autobiografi Putera Harry, Spare, yang akan dilancarkan minggu depan. Antara kandungannya yang didedahkan termasuklah dakwaan serangan fizikal abangnya, oleh Putera William; bagaimana beliau hilang teruna; pernah mengambil dadah; dan membunuh 25 individu di Afghanistan, yang mengundang kecaman dan ejekan. - Foto-foto AFP, REUTERS
UNDANG KRITIKAN: Autobiografi Putera Harry, Spare, yang akan dilancarkan minggu depan. Antara kandungannya yang didedahkan termasuklah dakwaan serangan fizikal abangnya, oleh Putera William; bagaimana beliau hilang teruna; pernah mengambil dadah; dan membunuh 25 individu di Afghanistan, yang mengundang kecaman dan ejekan. - Foto-foto AFP, REUTERS -

LONDON: Putera Harry berdepan kecaman susulan pendedahan kandungan buku autobiografinya, Spare, yang dikritik media, pengulas, veteran tentera dan Taliban, manakala Istana Buckingham masih berdiam diri setakat ini.

Beberapa hari sebelum penerbitan rasmi buku autobiografi yang akan dilancarkan minggu depan, kandungan versi bahasa Sepanyol dijual lebih awal secara tidak sengaja di Sepanyol sebelum ditarik balik Khamis lalu, namun beberapa agensi media sempat membelinya.

Antara kandungan yang didedahkan termasuklah dakwaan serangan fizikal oleh Putera William terhadap Putera Harry, bagaimana beliau hilang teruna, pernah mengambil dadah dan membunuh 25 individu di Afghanistan, yang mengundang kecaman dan ejekan.

Duke of Sussex berusia 38 tahun dalam buku itu mendakwa membunuh 25 orang ketika bertugas sebagai juruterbang helikopter Apache di Afghanistan, ketika berkhidmat dalam dua siri tugasan menentang kumpulan Taliban iaitu kali pertama sebagai pegawai udara memanggil serangan udara pada 2007-2008 dan kemudian menerbangkan helikopter gempur Apache pada 2012 hingga 2013.

Dalam buku Spare itu, Putera Harry berkata, beliau melaksanakan enam misi sebagai seorang juruterbang yang mendorongya 'meragut sejumlah nyawa manusia' dan beliau tidak berasa bangga atau malu berbuat demikian dan menganggap menghapuskan sasarannya seperti membuang 'buah catur daripada papan catur'.

Penulis, AN Wilson, menyifatkan buku diraja terbesar sejak ibunya, mendiang Puteri Diana, bekerjasama dengan Andrew Morton untuk menerbitkan autobiografinya pada 1992 itu, sebagai 'tindakan keji yang disengajakan' dan berniat jahat.

Wilson menyifatkan tindakan Putera Harry membuat pendedahan itu sebagai 'perbuatan bodoh', dan buku itu hanya menyebabkan orang ramai bersimpati pada keluarga diraja, bukan padanya.

Buku itu adalah antara kritikan terkini Putera Harry dan isterinya, Meghan Markle, selepas mereka mengumumkan pengunduran daripada tugas diraja dan berpindah ke California, Amerika Syarikat, pada 2020.

Sejak itu, pasangan yang sebelum ini bergelar Duke dan Duchess of Sussex itu menggunakan hubungan diraja mereka untuk meraih wang menerusi beberapa kontrak lumayan untuk pendedahan dalam program dan buku.

Wartawan The Guardian, Gaby Hinsliff, pula menyifatkan autobiografi Putera Harry itu bukan sekadar isu 'kepentingan awam yang canggung', malah umpama 'mencuci pakaian kotor di khalayak'.

"Kandungan pergaduhan fizikal Putera Harry dan Putera William hampir remeh dan mengecewakan," katanya.

Selain itu, pengakuan Putera Harry mengenai pembunuhan 25 individu di Afghanistan dan menyifatkannya umpama menyingkirkan 'buah catur', disifatkan sebagai kata-kata gah dan tidak sesuai, selain mencetus kemarahan veteran tentera.

Kolonel bersara Tim Collins yang pernah mengetuai batalion British di Iraq pada 2003, mengutuk buku itu yang disifatkan sebagai 'penipuan tragik demi wang'.

"Itu bukan sikap kita dalam tentera. Itu bukan cara kami berfikir. Putera Harry sudah mula menentang satu lagi keluarganya, iaitu pihak tentera, yang sebelum ini menerimanya, selepas memburukkan keluarga sebenarnya," katanya. - AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg