LONDON: Putera Harry, 36 tahun, dan isterinya Meghan Markle, 39 tahun, telah menandatangani perjanjian bersama penyedia khidmat penstriman dan media Spotify London untuk menerbitkan audio siar (podcast) bersama.
Menurut kenyataan Spotify semalam, siri itu bermatlamat berkongsi kisah yang memberi dorongan dan hiburan kepada pendengar. Spotify, yang dilancarkan di Sweden pada 2008, mempunyai lebih 144 juta pelanggan setakat ini.
Duke dan Duchess Sussex itu turut mengeluarkan kenyataan bahawa mereka gemar menghasilkan audio siar kerana sifat media itu yang mampu mencuri tumpuan pendengar. Dalam audio siar permulaan, Putera Harry mengenalkan dirinya begini: "Hi guys, I'm Harry." (Hi semua, saya Harry.)
Pasangan itu telah melancarkan pelbagai usaha kreatif sejak berpindah ke California, Amerika Syarikat, dan berhenti melaksanakan tugas diraja.
September lalu, mereka menandatangani perjanjian bersama khidmat penstriman kandungan Internet Netflix. Bersama Netflix, mereka dijangka menghasilkan siri dan filem yang berupaya menyebarkan manfaat.
Markle, yang juga bekas pelakon televisyen, turut meminjamkan suaranya menjadi suara latar dokumentari hidupan liar. Saham Spotify melonjak 2 peratus pagi Selasa (waktu Britain) apabila berita itu tersebar.
Sebelum ini, mereka menandatangani perjanjian bersama selebriti lain, seperti mantan presiden Amerika Barack Obama dan isterinya Michelle serta Kim Kardashian West.
Spotify bagaimanapun tidak menjelaskan nilai perjanjian yang dipersetujuinya bersama pasangan diraja itu. Siri audio siar Harry dan Meghan yang lengkap dijangka siap tahun depan.
Di samping itu, Harry dan Meghan akan mengacarakan dan menerbitkan audio siar lain di bawah syarikat mereka sendiri, Archewell Audio.
- AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg