PEMBUNUHAN WARTAWAN JAMAL KHASHOGGI

Putera Saudi dakwa Khashoggi berbahaya dalam panggilan dengan Rumah Putih

WASHINGTON: Putera Mahkota Arab Saudi menyifatkan wartawan yang dibunuh, Encik Jamal Khashoggi, sebagai penyokong fundmentalisme Islam berbahaya selepas kehilangannya, dalam panggilan telefon kepada menantu Presiden Donald Trump, Encik Jared Kushner, dan penasihat keselamatan kebangsaan John Bolton, menurut orang yang tahu tentang perbualan itu, lapor The Washington Post.

Dalam panggilan sebelum Arab Saudi secara terbuka mengakui pembunuhan Encik Khashoggi, Putera Mohammed bin Salman menggesa Encik Kushner dan Encik Bolton memelihara hubungan Amerika-Arab Saudi dan berkata wartawan itu ahli Ikhwanul Muslimin, sebuah kumpulan yang lama ditentang Encik Bolton dan pegawai kanan lain Encik Trump.

Percubaan mengkritik Encik Khashoggi secara peribadi itu bertentangan dengan kenyataan awam kerajaan Arab Saudi kemudiannya, yang mengutuk pembunuhan itu sebagai "kesilapan teruk" dan "tragedi buruk".

"Kejadian yang berlaku sangat menyakitkan, bagi semua rakyat Arab Saudi," kata Putera Mohammed, ketua tidak rasmi kerajaan itu, semasa satu perbincangan panel minggu lalu.

"Insiden ini tidak dapat diterima."

Duta Arab Saudi ke Amerika, Encik Khalid bin Salman, menggambarkan Encik Khashoggi bulan lalu sebagai "kawan" yang mendedikasikan "sebahagian besar hidupnya untuk berkhidmat kepada negaranya".

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada The Washington Post, keluarga Encik Khashoggi menegaskan gambaran beliau sebagai penyokong fundmentalisme Islam adalah tidak tepat.

"Jamal Khashoggi bukan ahli Ikhwanul Muslimin. Beliau menafikan dakwaan sebegitu sejak beberapa tahun lalu," kata keluarganya.

"Jamal Khashoggi bukan seorang yang berbahaya dalam sembarang cara yang mungkin. Menuduh sebaliknya adalah tidak masuk akal."

Seorang yang tahun mengenai perbualan itu berkata Encik Bolton tidak memberi isyarat bahawa beliau menyokong gambaran putera mahkota itu mengenai Encik Khashoggi.

Seorang pegawai Arab Saudi menafikan Rabu lalu bahawa putera Putera Mohammed membuat tuduhan tersebut, dengan berkata "panggilan rutin memang wujud dari masa ke masa" antara pemimpin muda itu dan pegawai tertinggi Amerika tetapi "tiada komen seperti itu disampaikan".

Arab Saudi menghadapi kecaman antarabangsa kerana bertukar-tukar cerita mengenai kehilangan Encik Khashoggi pada 2 Oktober di Konsulat Arab Saudi di Istanbul, Turkey.

Pada mulanya Arab Saudi berkata Encik Khashoggi keluar dari konsulat itu tanpa diapa-apakan tetapi kemudian berkata ejennya secara tidak sengaja terbunuh beliau dalam satu pergaduhan dan baru-baru ini mengumumkan ia mempunyai bukti pembunuhan itu "dirancang".

Penganalisis berkata usaha putera mahkota itu memburuk-burukkan Encik Khashoggi secara privet membayangkan ketidakikhlasan dan pembohongan dalam usaha mengawal kesan pembunuhan tersebut, menurut The Washington Post.

Rumah Putih enggan membincangkan perbualan sensitif dengan pegawai Arab Saudi atau mengatakan jumlah banyak panggilan telefon antara Putera Mohammed dengan Encik Kushner sejak kehilangan Encik Khashoggi.

Waktu Solat

Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:27
Maghrib
7:09
Isyak
8:22
3 HR PSI: 24
27°/ 24 °
Tuesday - Thundery showers mainly over northern and eastern Singapore in the afternoon.
Wednesday - Late morning and early afternoon thundery showers.
Thursday - Afternoon thundery showers.