Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Puteri Thailand masih dirawat di hospital, keadaan stabil

Dec 20, 2022 | 5:30 AM
BERI PENGHORMATAN: Para pegawai memberi penghormatan di hadapan gambar Puteri Thailand Bajrakitiyabha setelah beliau dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung di King Chulalongkorn Memorial Hospital di Bangkok. - Foto REUTERS
BERI PENGHORMATAN: Para pegawai memberi penghormatan di hadapan gambar Puteri Thailand Bajrakitiyabha setelah beliau dimasukkan ke hospital akibat masalah jantung di King Chulalongkorn Memorial Hospital di Bangkok. - Foto REUTERS -

BANGKOK: Puteri Bajrakitiyabha Narendira Debyavati, anak sulung Raja Thailand, masih dirawat di hospital dan keadaan keseluruhannya kekal stabil "pada tahap tertentu", kata istana diraja, memberi maklumat terkini puteri itu semalam.

Walaupun penyakit sebenar beliau tidak didedahkan, pihak istana menambah bahawa ubat dan peralatan digunakan untuk membantu jantung, paru-paru dan buah pinggangnya berfungsi.

"Gejala (beliau) sedang dipantau dengan teliti," kata kenyataan itu.

Ia adalah kemas kini pertama yang agak meluas mengenai keadaan puteri berusia 44 tahun itu sejak beliau pengsan akibat sakit jantung pada Rabu lalu.

Puteri itu rebah semasa sesi latihan bersama anjing tentera di daerah Pak Chong, di timur laut wilayah Nakhon Ratchasima.

Beliau dirawat di hospital setempat sebelum dibawa ke King Chulalongkorn Memorial Hospital di Bangkok.

Memberi butiran lanjut mengenai keadaannya, kenyataan itu menambah degupan jantungnya dikawal oleh ubat, dan keputusan ujian menunjukkan organ itu masih tidak mengepam secara normal.

Bagaimanapun, pemeriksaan X-ray jantung menunjukkan tiada kelainan, tambahnya.

Terdapat keprihatinan dan ucapan selamat daripada rakyat dan pemimpin sejak Puteri Bajrakitiyabha, seorang anggota kanan keluarga diraja dan seorang diplomat dan peguam yang cemerlang, dimasukkan ke hospital.

Sementara itu, Raja Maha Vajiralongkorn, 70 tahun, dan isterinya, Permaisuri Suthida Bajrasudhabimalalakshana, 44 tahun, yang melawat puteri itu awal minggu lalu, disahkan positif Covid-19 pada Sabtu lalu.

Mereka mengalami gejala ringan dan telah diminta untuk berehat daripada tugas rasmi buat sementara waktu, kata Biro Rumah Diraja.

Puteri Bajrakitiyabha adalah anak tunggal daripada perkahwinan Raja dengan isteri pertamanya, Puteri Soamsawali.

Beliau adalah anak sulung daripada tujuh anak Raja daripada empat perkahwinan.

Beliau juga dianggap sebagai antara calon yang mungkin - termasuk abang tirinya yang berusia 17 tahun, Putera Dipangkorn Rasmijoti - dalam barisan takhta.

Bagaimanapun, pihak istana belum mengumumkan secara rasmi waris kerajaan seterusnya. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg