MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin semalam memerintahkan keadaan darurat dan mengkritik anak syarikat gergasi logam, Norilsk Nickel, yang mengakibatkan tumpahan minyak diesel besar-besaran ke sungai Siberia.
Tumpahan lebih 20,000 tan minyak diesel berlaku pada Jumaat lalu (29 Mei) di Sungai Ambarnaya. Sebuah takungan bahan bakar runtuh di sebuah loji kuasa berhampiran bandar Norilsk, yang terletak di atas Garisan Arctic, dan bocor ke sungai berdekatan.
Kemalangan itu adalah yang kedua terbesar dalam sejarah moden Rusia dari segi jumlah, kata pakar Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF), Encik Alexei Knizhnikov, kepada agensi berita Agence France-Presse (AFP).
Ia hanya diatasi dengan tumpahan minyak mentah di wilayah barat laut Komi yang berlaku selama beberapa bulan pada tahun 1994, katanya.
Semasa persidangan video yang disiarkan di televisyen, Encik Putin mengecam ketua anak syarikat Norilsk Nickel yang mengendalikan loji janakuasa, NTEK, setelah para pegawai mengatakan ia gagal melaporkan kejadian itu.
"Mengapa agensi pemerintah hanya mengetahui perkara ini dua hari selepas fakta itu? Adakah kita akan belajar mengenai situasi kecemasan dari media sosial? Adakah anda cukup sihat di sana?" Encik Putin menyoal ketua NTEK, Encik Sergei Lipin, dengan tegas.
Norilsk Nickel dalam kenyataannya menyatakan, NTEK telah melaporkan apa yang berlaku secara "tepat pada masanya dan betul caranya".
Encik Putin berkata, beliau setuju bahawa keadaan darurat nasional diperlukan untuk mengumpulkan lebih banyak sumber daya untuk usaha pembersihan.
Menteri Darurat, Encik Yevgeny Zinichev, mengumumkan beliau akan terbang untuk menguruskan operasi pembersihan dan mengirimkan bantuan.
Jawatankuasa Penyiasat Russia, yang menangani insiden besar, mengumumkan telah melancarkan tiga siasatan jenayah atas pelanggaran alam sekitar dan menahan seorang pekerja loji janakuasa.
Pakar WWF, Encik Knizhnikov memberitahu AFP kumpulan alam sekitar adalah orang yang memberi amaran kepada pakar pembersihan setelah mengesahkan kemalangan itu melalui sumbernya.
"Ini adalah jumlah yang besar," kata Knizhnikov. "Sulit bagi mereka untuk menutupinya."
Encik Knizhnikov mengatakan bahan bakar diesel lebih ringan daripada minyak, jadi kemungkinan ia lebih mudah sejat daripada tenggelam, tetapi "lebih toksik untuk dibersihkan". - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg