SHENZHEN (China): Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, muncul dalam ‘gambar keluarga’ pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) buat kali pertama dalam sembilan tahun.

Beliau mengambil tempat di sebelah Presiden China, Encik Xi Jinping, dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam satu ‘bentuk bantahan tegas’ terhadap usaha Barat untuk memulaukannya di pentas dunia.

Encik Xi diapit oleh presiden Amerika dan Russia pada petang 18 November, dengan hanya isterinya, Cik Peng Liyuan, yang memisahkan pemimpin China itu daripada Encik Putin.

Gambar ketiga-tiga pemimpin itu berdiri bersebelahan diambil beberapa jam sebelum mereka mengadakan rundingan yang belum pernah berlaku sebelum ini, di sisi sidang kemuncak Apec di Shenzhen, China.

Gambar-gambar sepanjang dekad lalu menunjukkan dengan jelas betapa terpinggirnya Encik Putin dari segi diplomatik.

Pada 2014, Russia digantung daripada kumpulan yang ketika itu dikenali sebagai Kumpulan Lapan (G8), susulan pengilhakkan wilayah Crimea milik Ukraine. Sejak itu, kumpulan tersebut dikenali sebagai Kumpulan Tujuh (G7).

Pencerobohan skala penuh pada 2022 turut memperdalam kepinggirannya daripada pemimpin lain.

Encik Putin kali terakhir muncul dalam gambar keluarga Apec pada 2017 di Vietnam.

Sejak itu, waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengehadkan pergerakan Encik Putin – malah ke negara seperti Afrika Selatan yang mempunyai hubungan baik dengan Russia.

Encik Xi memainkan peranan penting dalam membantu Encik Putin kekal dalam perihal diplomatik, dengan memberikannya platform pada acara besar seperti perbarisan tentera pada 2025 di Beijing.

Walaupun gambar keluarga bersifat istiadat dan tidak membawa makna besar, ia merupakan satu ritual yang direka untuk menonjolkan perpaduan dalam kalangan pemimpin dunia.

Ia sering mempamerkan ketegangan geopolitik, yang terpancar terutamanya melalui kedudukan siapa berdiri di mana. Kadangkala, gambar sebegitu terus dibatalkan sepenuhnya.

Bagi 2026, pemimpin daripada 21 ekonomi Apec mengambil dua gambar – berkumpul semula untuk gambar kedua pada 19 November dalam susunan yang hampir sama.

Kedua-dua gambar 2026 turut menonjolkan pertelingkahan sengit antara Jepun dengan China.

Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, yang mendapat kedudukan barisan hadapan dalam gambar 2025 di sidang kemuncak Apec di Korea Selatan, kali ini diletakkan di barisan belakang.

Para diplomat Jepun sebelum ini bimbang bahawa Encik Xi mungkin terus mengabaikan Cik Takaichi sepenuhnya, memandangkan hubungan kedua negara berada dalam keadaan tegang susulan kenyataan beliau pada 2025 bahawa Jepun berkemungkinan terlibat sekiranya berlaku sebarang pencerobohan ke atas Taiwan.

Namun, itu tidak berlaku.

Encik Xi dan isterinya menyambut Cik Takaichi dengan jabat tangan dan senyuman mesra pada 18 November ketika beliau tiba di pentas. – Agensi berita.