SHENZHEN: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, muncul dalam ‘gambar keluarga’ pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) buat kali pertama dalam sembilan tahun.

Beliau mengambil tempat di sebelah Presiden China, Encik Xi Jinping, dan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, dalam satu ‘bentuk bantahan tegas’ terhadap usaha Barat untuk memulaukannya di pentas dunia.

Encik Xi diapit oleh presiden Amerika dan Russia pada petang 18 November, dengan hanya isterinya, Cik Peng Liyuan, yang memisahkan pemimpin China itu daripada Encik Putin.

Gambar ketiga-tiga pemimpin itu berdiri bersebelahan diambil beberapa jam sebelum mereka mengadakan rundingan, yang belum pernah berlaku sebelum ini, di luar sidang kemuncak Apec di Shenzhen, China.

Sepanjang dekad lalu, Encik Putin telah dipinggirkan dari segi hubungan diplomatik.

Pada 2014, Russia digantung daripada kumpulan yang ketika itu dikenali sebagai negara Kumpulan Lapan (G8), susulan pengilhakkan wilayah Crimea milik Ukraine.

Sejak itu, kumpulan tersebut dikenali sebagai negara Kumpulan Tujuh (G7).

Pencerobohan berskala penuh Russia ke atas Ukraine pada 2022 turut memburukkan lagi peminggirannya daripada pemimpin dunia lain.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Kali terakhir Encik Putin bergambar bersama pemimpin Apec yang lain adalah semasa sidang kemuncak 2017 di Vietnam.

Sejak itu, waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah mengehadkan pergerakan Encik Putin – malah ke negara seperti Afrika Selatan yang mempunyai hubungan baik dengan Russia.

Encik Xi memainkan peranan penting dalam memastikan Encik Putin tidak terus terpinggir secara diplomatik, dengan memberikannya platform pada acara besar seperti perbarisan tentera di Beijing pada 2025

Sesi bergambar rasmi menjadi sebahagian istiadat yang direka untuk menonjolkan perpaduan dalam kalangan pemimpin dunia.

Namun susunan pemimpin dalam gambar kerap mempamerkan ketegangan geopolitik, terutama melalui kedudukan siapa berdiri di mana.

Ada kalanya, sesi bergambar sebegitu terus dibatalkan.

Pada 2026, pemimpin daripada 21 ekonomi Apec mengambil dua gambar, dan susunan dalam kededua gambar mencerminkan ketegangan diplomatik yang sedang berlaku antara Jepun dengan China.

Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, yang mendapat kedudukan barisan hadapan dalam gambar 2025 di sidang kemuncak Apec di Korea Selatan, kali ini diletakkan di barisan belakang.

Diplomat Jepun sebelum ini bimbang Encik Xi akan terus meminggirkan Cik Takaichi sepenuhnya, memandangkan hubungan kedua-dua negara tegang susulan kenyataan pemimpin Jepun itu pada 2025 bahawa Tokyo berkemungkinan campur tangan jika berlaku pencerobohan ke atas Taiwan.

Namun, itu tidak berlaku.

Encik Xi dan isterinya menyambut Cik Takaichi dengan senyuman mesra dan berjabat tangan dengannya semasa di atas pentas pada 18 November. – Agensi berita.