MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, berkata Moscow tidak perlu mengadakan sesi kerahan kedua bagi menambah jumlah askarnya untuk berperang di Ukraine.
Ini kerana, ia mempunyai seramai 150,000 askar baru yang belum lagi dikerahkan ke barisan depan dalam peperangan itu.
Moscow sebelum ini telah mengadakan sesi kerahan yang menyaksikan lebih 300,000 askar kerahan digerakkan pada September dan Oktober lalu, dengan Encik Putin berkata separuh daripadanya telah dikerahkan ke Ukraine.
Meskipun beliau berkali-kali mengatakan pengerahan askarnya telah berakhir, Kremlin enggan membatalkan perintah rasmi yang mengerahkan mobilisasi askar, dan ini menimbulkan kebimbangan ramai bahawa gelombang kedua pengerahan akan diumumkan.
Encik Putin dalam pada itu memberi amaran mengenai campur tangan ketenteraan yang lama di Ukraine, namun menegaskan Moscow tidak akan menggunakan senjata nuklear melainkan diserang terlebih dulu.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, berkata serangan baru Russia ke atas pasar dan stesen minyak membunuh enam orang serta mencederakan beberapa lagi di wilayah Donetsk.
Dengan konflik yang hampir masuk setahun, tentera Russia terlepas kebanyakan matlamat ketenteraan utama mereka, termasuk menjatuhkan pemerintah Ukraine, menawan wilayah Donbas dan menakluk empat wilayah.
Bahasa yang digunakan Encik Putin sendiri, yang berbaur ancaman dan menggambarkan kebuntuan di medan perang, telah menimbulkan kebimbangan bahawa Russia boleh menggunakan senjata nuklear bagi mencapai kejayaan ketenteraan.
Encik Putin sebelum ini memberi amaran bahawa ancaman perang nuklear semakin meningkat tetapi berjanji Russia tidak akan melakukan serangan pertama.
"Ancaman seumpama itu semakin meningkat. Kenapa perlu berahsia di sini?" katanya pada mesyuarat majlis hak asasi manusia.
Tambah beliau, Russia bagaimanapun, akan menggunakan satu senjata nuklear saja sebagai tindak balas kepada serangan musuh.
"Apabila kami diserang, kami menyerang kembali," katanya, sambil menegaskan strategi Moscow adalah berasaskan dasar yang dikatakan 'serangan balas'.
Kelmarin, Encik Putin menyatakan bahawa hilangnya kepercayaan Moscow terhadap Barat akan menyebabkan penyelesaian yang mahu dicapai dalam isu Ukraine menjadi lebih sukar, meskipun hubungan antara khidmat risikan Russia dengan Amerika Syarikat masih sekurang-kurangnya diteruskan. - AFP, Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg