MOSCOW: Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, tanpa menunjukkan rasa kesal, terus berkeras dengan tindakannya memerangai Ukraine, sambil mengatakan bahawa "operasi khas tentera" itu menghasilkan matlamatnya dan penguasaan Barat dalam ehwal dunia akan berakhir.
Dengan melontar kecaman terhadap pihak Barat selama lebih tiga jam dalam sesi soal jawab di persidangan tahunan mengenai dasar luar di Moscow, Encik Putin kelihatan begitu yakin dan tenang.
Penampilannya kali ini berbeza daripada sebelumnya.
Beliau menampakkan penampilan formal, kaku dan resah semasa tampil di hadapan umum semasa perang Ukraine baru-baru dilancarkan dulu.
Ketika ditanya sama ada beliau berasa kecewa, Encik Putin, 70 tahun, menjawab mudah: "Tidak."
Namun beliau juga berkata rakyat Russia juga kehilangan nyawa di Ukraine.
Ucapan beliau mengandungi beberapa ungkapan yang lazim disebutnya sebagai keluhan "terhadap musuh Barat," yang beliau sifatkan sekarang ini sedang menghadapi "keruntuhan kuasa."
Beliau berkata, para pemimpin Barat yang liberal telah meruntuhkan "nilai-nilai tradisi" di serata dunia, menyeludup suatu budaya dengan "puluhan perarakan gay" di lain-lain negara.
Encik Putin menuduh Barat menghasut peperangan di Ukraine dan bermain "kotor, berbahaya dan berdarah" yang mencetuskan keadaan huru hara di serata dunia.
"Tempuh sejarah dominan Barat dalam ehwal dunia kini sampai ke penghujungnya," kata mantan perisik KGB itu.
"Kita sedang berada di perbatasan bersejarah: Di hadapan kita mungkin amat berbahaya, tidak menentu dan pada masa yang sama, merupakan satu dekad yang penting sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Konflik, yang bermula lapan bulan lalu dengan serangan tentera Russia ke atas negara jirannya, Ukraine, telah meragut ribuan jiwa, mengakibatkan jutaan orang meninggalkan kediaman mereka, menggugat ekonomi global dan membuka semula zaman Perang Dingin.
Selanjutnya, apabila perbincangan lebih menjurus kepada soal perang, Encik Putih tidak menyentuh langsung tentang kemunduran Russia di medan perang di Ukraine beberapa bulan kebelakangan ini.
Beliau juga tidak menyentuh tentang langkah-langkah yang diambilnya seperti mengerahkan ratusan ribu anggota simpanan yang mengakibatkan ribuan rakyat lelaki negara itu melarikan diri ke luar negara.
Apabila penganjur sesi tersebut secara tidak langsung menyuarakan keprihatinan awam tentang "sama ada operasi Russia itu berjalan seperti yang dirancangkan," Encik Putih berkata, matlamat operasi itu tetap tidak berubah.
Russia berjuang untuk melindungi rakyat di Donbas, katanya, merujuk kepada sebuah rantau perindustrian di bahagian timur - meliputi dua wilayah Ukraine - yang didakwanya telah diambil bulan lalu.
Sekatan-sekatan ekonomi telah meninggalkan kesan buruk dan pada akhirnya akan menjadikan Russia lebih kuat dengan menjadikan industrinya lebih bebas, kata Encik Putin. - Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg