KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Encik Rafizi Ramli, berikrar melaksanakan yang terbaik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Beliau menerusi Twitter semalam berkata kemenangan atau kekalahan sesuatu parti pada PRU akan ditentukan Allah.

"Kita akan buat yang terbaik. Seperti saya selalu ulang, menang kalah (pada PRU) Allah telah tetapkan.

"Yang penting, kita berusaha terbaik untuk terus bawa Malaysia ke landasan lebih baik.

"Daripada berlari-lari anak beberapa bulan lalu, ini masa untuk memecut," katanya mengulas pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Encik Rafizi kelmarin dalam satu kempen politik PKR, mengumumkan parti itu akan bertanding lagi di kerusi Parlimen Tapah pada PRU15.

Beliau menegaskan PKR akan melakukan usaha terbaik bagi merampas kerusi itu yang disandang Timbalan Presiden Kongres India Malaysia (MIC), Datuk Seri M Saravanan, sejak tiga penggal lalu.

Pada PRU14, Datuk Saravanan mewakili Barisan Nasional (BN) terus menguasai kerusi Parlimen Tapah dengan majoriti 614 undi, menewaskan calon Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan Pakatan Harapan (PH) yang bertanding menggunakan logo PKR ketika itu.

Encik Rafizi menjelaskan sekiranya tewas lagi dalam saingan di kerusi itu pada PRU15, PKR akan memastikan tetap ada perubahan dengan lonjakan sokongan kepada parti berkenaan.

"Kalau tidak menang, tidak mengapa tetapi pastikan ada perubahan dan lonjakan yang cukup baik kerana tunggu masa saja untuk kerusi Parlimen Tapah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning dan DUN Chenderiang akan dikuasai PKR.

"Perak secara keseluruhannya juga tunggu masa saja untuk kita ambil alih sebagai kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya ketika berucap dalam program Jelajah Trak Ayuh Malaysia Parlimen Tapah di tapak ekspo Bukit Baldwin kelmarin.

Encik Rafizi turut menekankan sebarang kesilapan memilih pemimpin pada PRU15 bakal memberi kesan terhadap seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. - BHM.