LONDON: Raja Britain Raja Charles III akan ditabalkan di Westminster Abbey London hari ini dalam upacara pertabalan penuh istiadat dikendalikan Uskup Agung Canterbury, Justin Welby serta disaksikan jutaan masyarakat dunia.
Laungan "God Save the King" dijangka kedengaran di sekitar biara selepas Mahkota St Edward yang diperbuat daripada emas padu dimahkotakan ke atas Charles oleh Uskup Welby lapor dpa.
Ia merupakan pertabalan pertama Britain sejak 70 tahun dan diadakan selepas lapan bulan kemangkatan Ratu Elizabeth II, pada usia 96 tahun.
Istiadat itu akan menghimpunkan kira-kira 100 ketua negara, raja dan permaisuri dari seluruh dunia, selebriti, wira dan keluarga, dengan Duke of Sussex dijangka hadir.
Presiden Halimah Yacob dijadualkan hadir di Istiadat Pertabalan tersebut.
Tetamu jemputan termasuk David dan Victoria Beckham, pemuzik Lionel Richie, Presiden Perancis Emmanuel Macron, Raja Willem-Alexander dan Ratu Maxima dari Belanda, Perdana Menteri Britain Rishi Sunak, dan Wanita Pertama AS Jill Biden.
Upacara berkenaan menyaksikan operasi istiadat terbesar tentera sejak pertabalan Ratu Elizabeth pada 1953, yang disertai 9,000 anggota tentera manakala 7,000 daripadanya melaksanakan peranan istiadat dan sokongan.
Operasi keselamatan besar-besaran, digelar Golden Orb, sedang dijalankan yang akan menyaksikan 11,500 anggota polis bertugas pada Sabtu.
Wakil-wakil daripada komuniti agama akan memainkan peranan aktif dalam istiadat pertabalan diraja buat kali pertama dalam sejarah. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg