Subuh
5:34
Syuruk
6:57
Zuhur
1:04
Asar
4:28
Maghrib
7:08
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

KEMANGKATAN RATU ELIZABETH

Raja Charles naiki takhta kerajaan Britain

Sep 10, 2022 | 05:30 AM



LONDON: Dengan pemergian ibu beliau, Ratu Elizabeth II kelmarin, Putera Charles (gambar) menaiki takhta menjadi Raja bagi United Kingdom (UK) dan 14 jajahan takluknya, sekali gus mengakhiri suatu penantian selama 70 tahun - paling lama dalam sejarah keluarga diraja Britain.



Peranan beliau amat mencabar. Mendiang ibunya sangat popular dan dihormati, tetapi kerabat diraja yang ditinggalkan tercemar gara-gara pertelagahan hubungan, termasuk desas-desus adanya dakwaan sikap perkauman terhadap pegawai-pegawai di Istana Buckingham.



Raja Charles III berdepan dengan cabaran-cabaran itu, pada usia 73 tahun, menjadi raja tertua yang menaiki takhta dalam deretan kerabat diraja selama 1,000 tahun, dengan isteri keduanya, Camilla, yang masih dipersoalkan oleh masyarakat umum.



Bagi para pengkritik, Raja Charles dilihat sebagai seorang yang lemah, suka campur tangan dan kurang lengkap untuk melaksanakan peranan berdaulat itu.



Beliau telah dipersendakan kerana dikatakan bercakap dengan tumbuh-tumbuhan dan terlalu taksub dengan seni bina dan sekitaran, dan akan terus diperkatakan tentang kegagalan perkahwinan pertamanya dengan mendiang Puteri Diana.



Para penyokong beliau pula menyifatkan kritikan itu sebagai suatu penyelewengan terhadap kebaikan yang telah dilakukannya, kerana salah faham - contohnya termasuk mengenai usaha-usaha beliau dalam soal perubahan iklim.



Menurut para penyokong itu, Raja Charles amat prihatin terhadap rakyat Britain dan semua lapisan masyarakat di negara itu.



Yayasan Amal Diraja yang dibentuknya telah membantu lebih sejuta penganggur dan orang muda yang kurang bernasib baik, sejak dilancarkan hampir 50 tahun lalu.



"Masalahnya adalah anda berada di suatu kedudukan yang sukar... jika tidak melakukan sesuatu sama sekali, mereka akan mengadu tentang anda," kata beliau dalam satu wawancara dokumentari TV.



"Jika anda cuba dan terkandas, melakukan sesuatu untuk membantu, mereka tetap juga merungut."



Sepanjang usianya, Raja Charles terjerat di tengah-tengah era pemodenan monarki, cuba mencari ruang untuk meletakkan dirinya dalam sebuah masyarakat yang lebih kepada kesetaraan sosial.



Dalam pada itu juga, beliau berusaha mengekalkan tradisi menjadikan institusi diraja lebih disenangi.



Kesulitan seperti itu dapat dilihat pada kehidupan kedua-dua putera beliau.



Putera sulung, Putera William, 40 tahun, kini bakal penggantinya, menjalani hidup melaksanakan tugas tradisi, kerja-kerja amal dan selaku lambang ketenteraan.



Putera keduanya, Putera Harry, 37 tahun, kini bermastautin di Los Angeles bersama isterinya, bekas seniwati Amerika, Meghan.



Beliau menjalankan kerjaya baru di Hollywood, bukan Istana Buckingham.



Kedua-dua bersaudara ini dulunya amat akrab, tetapi sekarang sudah jarang berhubungan.



Raja Charles III dilahirkan pada 14 November 1948, ketika mendiang datuknya, King George VI, menduduki takhta selama 12 tahun.



Dalam usia tiga tahun, beliau sudah bergelar putera mahkota apabila ibunya diangkat menjadi Ratu pada 1952. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >