EDINBURGH, SCOTLAND: Raja Britain Charles telah ke Edinburgh untuk menyertai adik-beradiknya semalam sedang keranda ibunya Ratu Elizabeth dibawa dalam perarakan dari salah satu istana Scotland ke Katedral St Giles yang bersejarah di bandar itu.
Raja Charles yang baru dinobat itu juga menyertai kerabat diraja untuk berjaga di gereja di mana keranda diletakkan sebelum diterbangkan ke London hari ini.
Sejak kematian Ratu Elizabeth pada usia 96 tahun di Istana Balmoral, rumah percutian diraja di Scotland, satu siri rancangan telah disusun dengan teliti untuk meratapi ratu Britain, yang bertakhta selama 70 tahun itu.
Kelmarin, keranda kayu oak, yang disalut bendera Royal Standard of Scotland dengan kalungan bunga di atasnya, telah dibawa dengan van jenazah dalam perjalanan enam jam dari Balmoral melalui kawasan desa, kampung, pekan kecil dan bandar Scotland yang indah ke Edinburgh.
Puluhan ribu orang yang mengucapkan takziah berbaris di jalan raya untuk memberi penghormatan, manakala ramai orang, sebahagiannya menitiskan air mata, berkumpul di Edinburgh untuk menyambut rombongan itu.
"Ia sangat menyedihkan," kata Cik Rachel Lindsay, 24 tahun.
"Saya tidak fikir kami menjangkakan ia akan berlaku. Saya hanya fikir beliau akan hidup selama-lamanya. Saya tidak fikir ia benar sehingga saya melihatnya."
Sebelum berlepas ke Scotland, Raja Charles, 73 tahun, yang secara automatik menjadi raja United Kingdom dan 14 negara lain termasuk Australia, Canada, Jamaica, New Zealand dan Papua New Guinea, telah ke Parlimen Britain untuk menghadiri satu lagi upacara tradisi.
Di Westminster Hall, penggubal undang-undang dari Dewan Rakyat dan Dewan Pertuanan atasan mengucapkan takziah atas kematian ibunya, dan raja baru itu menyampaikan respons.
Beliau kemudian menaiki pesawat ke Edinburgh bersama isterinya Camilla, Permaisuri Ratu, untuk menyertai adik-beradiknya Puteri Anne, Putera Andrew dan Putera Edward.
Anak-anak Ratu Elizabeth kemudian berjalan dalam perarakan di belakang van jenazah sedang keranda ibu mereka dibawa ke Katedral St Giles, diapit oleh askar.
MAHKOTA SCOTLAND
Apabila ia tiba di gereja, Duke Hamilton dan Brandon, kerabat terkemuka Scotland, meletakkan Mahkota Scotland di atas keranda.
Selepas upacara, keranda diletakkan di katedral selama 24 jam untuk membolehkan orang ramai memberi penghormatan.
Giliran berjaga berterusan akan dilaksanakan oleh askar dari Royal Company of Archers - 'Pengawal Peribadi' diraja di Scotland.
Charles, yang juga dijadual melawat Parlimen Scotland dan bertemu Menteri Pertama Scotland, Cik Nicola Sturgeon, kemudiannya berjaga pada 7.20 malam bersama dengan kerabat diraja yang lain.
Hari ini, keranda itu akan diterbangkan ke London di mana mulai esok ia akan memulakan tempoh bersemayam sehingga awal Isnin (19 September) - hari pengebumian negara Ratu Elizabeth - di atas 'catafalque', sebuah struktur pemakaman di Westminster Hall.
Ia akan dikawal sepanjang masa oleh askar atau oleh Yeoman Warder - dikenali sebagai 'beefeaters' - dari Tower Of London.
Orang ramai akan dibenarkan berarak melewati keranda, yang disalut bendera Standard Royal dengan alat kebesaran diraja diletakkan di atasnya, sepanjang 24 jam sehingga 6.30 pagi pada 19 September.
"Mereka yang ingin hadir akan dikehendaki beratur selama berjam-jam, mungkin semalaman," kata kerajaan dalam satu kenyataan.
"Kesesakan dijangka dan orang ramai digalakkan supaya menyemak lebih awal, merancang dengan sewajarnya dan bersedia untuk masa menunggu yang lama."
Sementara itu, ribuan orang terus berkumpul di istana diraja di seluruh Britain, membawa bunga.
Di Green Park berhampiran Istana Buckingham di London, di mana beberapa acara penghormatan sedang berlangsung, barisan bunga yang panjang kini menghiasi taman - membolehkan orang yang berkabung membaca penghormatan itu.
Orang ramai yang lain telah melampirkan ucapan takziah mereka pada pokok-pokok di sana.
Kali terakhir Britain menyaksikan paparan berkabung seperti itu ialah pada 1997 berikutan kematian isteri pertama Raja Charles, Puteri Diana, selepas beliau terbunuh dalam kemalangan kereta di Paris.
"Ia mengingatkan saya kepada Diana 25 tahun lalu," kata Cik Helen Soo, 59 tahun.
"Saya jauh lebih muda pada masa itu, saya tidur semalaman di Hyde Park dan kali ini jumlahnya mungkin 100 kali lebih ramai." - Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg