BAITULMAKDIS: Rakyat Israel keluar mengundi pada 27 Oktober dalam pilihan raya umum yang dianggap antara paling penting dalam sejarah negara itu, dengan masa depan politik Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, menjadi tumpuan selepas tiga tahun peperangan di Gaza.

Pilihan raya itu merupakan yang pertama sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023, yang mencetuskan peperangan berpanjangan di Gaza dan membawa kesan besar terhadap keselamatan, ekonomi serta kedudukan Israel di peringkat antarabangsa.

Lebih 7.3 juta rakyat Israel layak mengundi bagi memilih 120 anggota Parlimen atau Knesset, ketika negara itu berdepan perpecahan politik yang mendalam berhubung kepimpinan, keselamatan dan masa depannya.

Menurut Jawatankuasa Pilihan Raya Pusat Israel, pusat pengundian dibuka pada 7 pagi waktu tempatan dan dijadualkan ditutup pada 10 malam.

Sebanyak 12,018 pusat pengundian dan kira-kira 18,000 peti undi disediakan di seluruh negara, dengan sekitar 100,000 petugas pilihan raya ditugaskan bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar.

Sebanyak 37 parti dan gabungan politik bertanding, namun perhatian utama tertumpu kepada persaingan antara parti Likud pimpinan Encik Netanyahu dengan beberapa parti pembangkang.

Antara pencabar utama beliau ialah mantan Ketua Turus Tentera Israel, Encik Gadi Eisenkot, yang mengetuai parti Yashar, serta gabungan Together pimpinan mantan Perdana Menteri, Encik Naftali Bennett.

Encik Netanyahu, 77 tahun, berusaha mengekalkan kuasa selepas mendominasi politik Israel selama hampir tiga dekad, termasuk memegang jawatan Perdana Menteri selama 19 tahun.

Beliau mengetuai gabungan parti nasionalis dan Yahudi ultra-Ortodoks yang menyokong dasar keselamatan lebih tegas serta pengukuhan kawalan Israel ke atas Tebing Barat dan Gaza.

Sebaliknya, pembangkang yang diketuai Encik Eisenkot berjanji memulihkan institusi demokrasi, memperbaiki hubungan Israel dengan masyarakat antarabangsa dan menilai semula kegagalan keselamatan yang membawa kepada serangan Hamas pada 2023.

Encik Eisenkot, yang kehilangan anak lelakinya dalam peperangan Gaza, turut mendesak supaya siasatan bebas dijalankan terhadap kegagalan pihak berkuasa menghalang serangan tersebut.

Bagaimanapun, Encik Netanyahu menolak penubuhan suruhanjaya siasatan bebas dan berikrar meneruskan rancangan merombak sistem kehakiman Israel.

Pengkritik berpendapat langkah itu boleh melemahkan kebebasan badan kehakiman dan menjejaskan demokrasi negara berkenaan.

Pilihan raya kali ini juga menyaksikan persaingan sengit antara dua kelompok politik yang menawarkan hala tuju berbeza.

Gabungan Encik Netanyahu menekankan kepentingan keselamatan negara, nilai agama dan pengukuhan penguasaan Israel di wilayah Palestin.

Pembangkang pula memberi tumpuan kepada usaha memulihkan imej Israel yang terjejas akibat peperangan Gaza, termasuk menangani keganasan penduduk haram Yahudi terhadap penduduk Palestin di Tebing Barat.

Walaupun pengundian berakhir pada malam 27 Oktober, keputusan mengenai siapa yang akan menjadi Perdana Menteri seterusnya mungkin mengambil masa beberapa minggu.

Keputusan awal dijangka diketahui selepas pusat pengundian ditutup, apabila stesen televisyen Israel menyiarkan tinjauan pengundi sejurus selepas mereka membuang undi.

Pengiraan undi dijangka selesai menjelang 30 Oktober, manakala keputusan rasmi dijadualkan diumumkan pada 4 November.

Dalam sistem politik Israel, sesebuah parti atau gabungan memerlukan sekurang-kurangnya 61 daripada 120 kerusi Knesset untuk membentuk pemerintah.

Setakat ini, tiada parti dalam sejarah Israel pernah memperoleh majoriti mutlak secara bersendirian, menyebabkan pembentukan kerajaan bergantung kepada rundingan antara beberapa parti.

Selepas keputusan dimuktamadkan, Presiden Israel, Encik Isaac Herzog, akan berunding dengan pemimpin parti sebelum memilih calon yang dianggap mempunyai sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Calon tersebut diberikan tempoh sehingga 42 hari untuk membentuk gabungan pemerintah.

Sekiranya gagal, calon lain boleh diberikan peluang, dan jika semua usaha menemui jalan buntu, pilihan raya baru mungkin perlu diadakan.

Sementara itu, pengundi Arab Israel turut menjadi tumpuan kerana mereka membentuk kira-kira satu perlima penduduk negara tersebut.

Dua gabungan parti Arab bertanding dalam pilihan raya kali ini dan berpotensi memainkan peranan penting sekiranya persaingan antara gabungan utama berakhir tanpa majoriti jelas.

Bagaimanapun, kebanyakan parti utama Yahudi menolak kerjasama dengan parti Arab, sekali gus merumitkan usaha membentuk pemerintah baru.

Dalam perkembangan lain, akhbar Israel, Haaretz, melaporkan bahawa parti Likud merancang menempatkan petugas untuk merakam pengundi Arab di luar pusat pengundian.

Menurut laporan itu, parti berkenaan membelanjakan jutaan shekel bagi merekrut petugas untuk memantau pengundian di kawasan masyarakat Arab dan melaporkan perkembangan secara langsung kepada ibu pejabat parti.

Akhbar tersebut turut melaporkan dakwaan bahawa beberapa pegawai kanan Likud membincangkan kemungkinan mempertikaikan keputusan pilihan raya atas alasan penipuan sekiranya parti itu mengalami kekalahan besar.

Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan Encik Netanyahu sendiri menghadiri mesyuarat yang membincangkan rancangan tersebut.

Dakwaan itu juga tidak membuktikan bahawa penipuan pilihan raya benar-benar berlaku.

Dengan persaingan politik yang sengit dan kemungkinan tiada gabungan memperoleh majoriti jelas, keputusan pengundian kali ini bukan sahaja menentukan kepimpinan Israel, malah turut mempengaruhi dasar negara itu terhadap Palestin serta hubungan dengan negara serantau dan masyarakat antarabangsa. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti