Subuh
5:36
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

E-MEL DARI KL

Rakyat Johor letih hadapi pilihan raya negeri

Feb 12, 2022 | 05:30 AM



RAKYAT Malaysia sudah penat berpolitik, kata sahabat saya seorang pemimpin akar umbi Johor.



"Macam rasa penat gitu fikirkan pasal politik. Tapi hidup kita sama saja tak berubah. Malah, barang keperluan harian naik harga," keluhnya.



Beliau seakan-akan acuh tak acuh dengan Pilihan Raya Negeri (PRN)Johor yang bakal berlangsung sebulan lagi.



Kalau seorang aktivis parti politik bersikap demikian, bagaimana pula dengan perasaan rakyat biasa yang tinggal di kampung?



"Aku rasa orang kampung lagi bosan kecoh nak berkempen dua minggu" katanya.



Februari ini genap dua tahun kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamed ditumbangkan dengan peristiwa perebutan kuasa yang digelar Langkah Sheraton.



Sejak itu, politik Malaysia bergelora panas tanpa henti.



Jawatan Perdana Menteri bertukar tangan dua kali. Dari Tun Dr Mahathir ke Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudian ke Datuk Seri Ismail Sabri pada Ogos tahun lalu. Tiga Perdana Menteri dalam masa hanya 19 bulan



Ini diikuti dengan PRN Sabah, PRN Melaka dan PRN Sarawak.



Apakah pentingnya PRN Johor berbanding Sabah, Melaka dan Sarawak?



Masih ada dua minggu lagi sebelum hari penamaan calon 26 Februari.



Tapi perang saraf parti politik sudah berlaku sejak kemenangan besar Umno-BN di Melaka November lalu.



Yang paling ketara ialah pergeseran Umno dan Parti Islam Se Malaysia (Pas) yang pada mulanya menggunakan bahasa kiasan tetapi meledak menjadi perang mulut berbisa.



Ia berpunca rasa kecewa Pas dengan keengganan Umno bekerjasama dengannya di Johor.



Umno mengingatkan Pas supaya jangan mengajar itik berenang.



Pas menyerang balas: Kami hanya membantu itik tempang berenang.



Ini kelihatan merujuk pada kerjasama mereka menubuhkan Muafakat Nasional pada 2018 setelah kerajaan Umno tumbang dalam PRU14.



Perpisahan berpatah arang Umno-Pas membayangkan terkuburnya Muafakat Nasional.



Ini bermakna kerajaan Malaysia sekarang yang didukung Umno, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) umpama retak menanti belah kerana Umno sebelum ini telah juga memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu.



Ramai berpendapat jika Umno-BN menang besar di Johor serupa di Melaka, PRU15 akan segera diumumkan tahun ini.



Dengan keadaan parti-parti pembangkang yang kelihatan lemah dan berpecah belah, kuasa mengundi golongan muda mungkin menjadi penentu.



Ia didalangi sebuah parti yang lahir atas serpihan Langkah Sheraton.



Parti Ikatan Demokratik (Muda) yang bernaung di bawah Pakatan Harapan telah dijanjikan 9 buah kawasan untuk bertanding.



Persoalannya ialah sama ada Muda berupaya meraih sokongan lebih 750 ribu pengundi baru berusia antara 18 hingga 21 tahun yang layak mengundi buat kali pertama.



Ramai menganggap Muda ibarat juara di alam maya kerana aktif berkempen di media sosial untuk mendapatkan sokongan anak muda.



"Bagi saya, ia sekadar di alam maya sahaja. Di peringkat bawahan, di lapangan, tidak semua anak muda ke arah Muda," kata Ketua Pemuda Bersatu (Armada) Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan.



Umno pula mengalu-alukan kemunculan sulung Muda di Johor untuk memeriahkan persaingan sihat mendapatkan undi golongan muda. Namun ia yakin Muda tidak akan mengancam kedudukan parti lain.



"Dia (Muda) lebih kepada mengganggu undilah. Dia akan dapat segmen yang dia nak, tetapi itu sekadar menjadi gangguan kepada undi (parti) lain,' kata Ketua Pemuda Umno Johor, Mohd Hariri Mad Shah.



Segmen yang dimaksudkan itu ialah golongan muda lebih terbuka dan liberal yang mahukan pembaharuan arus politik Malaysia.



Walaupun Umno dan Bersatu kelihatan meremehkan kehadiran Muda, terdapat kebimbangan tren pengundian generasi muda yang sukar diramalkan.



Di sebalik kehangatan parti parti politik menghidupkan jentera kempen, kes jangkitan Covid19 kembali memuncak minggu ini hampir mencecah 20 ribu sehari.



Ini mendorong Pakatan Harapan (PH) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan PRN Johor kerana bimbang peningkatan jumlah jangkitan akan digunakan sebagai senjata untuk tujuan politik.



"Sekiranya kerajaan enggan menangguhkan dan ingin memberi kelonggaran seperti negara Barat, maka kempen terbuka termasuk ceramah harus dibenarkan," kata PH dalam satu kenyataan media.



Lebih 2.5 juta rakyat Johor layak mengundi pada 12 Mac nanti.



Namun, dengan jumlah jangkitan Omicron yang naik mendadak, kadar 70 peratus rakyat yang dijangka keluar mengundi mungkin lebih rendah.



Jika ditambah dengan keluhan sahabat saya di Johor tentang kelesuan berpolitik, keputusan PRN Johor mungkin tidak akan mencerminkan sentimen sebenar rakyat biasa.




• Basir Siswo mantan wartawan Berita Harian dan kini menetap di Kuala Lumpur. Beliau penulis tamu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >