Topic followed successfully
Go to BHkuRakyat M'sia bergegas sambut 'Raya terkejut'
Rakyat M'sia bergegas sambut 'Raya terkejut'
Orang ramai, peniaga panik Aidilfitri diumum jatuh 2 Mei kerana jangka 3 Mei
Rakyat M'sia bergegas sambut 'Raya terkejut'
KUALA LUMPUR: Apabila kerajaan Malaysia mengumumkan 1 Syawal jatuh pada keesokan harinya (Isnin, 2 Mei), ramai rakyatnya terutama yang beragama Islam terkejut hingga mereka menamakan Hari Raya Aidilfitri tahun ini sebagai 'Raya Terkejut'.
Ini kerana kebanyakan mereka menjangka Lebaran akan disambut pada 3 Mei.
Keputusan itu, yang diumum Penyimpan Mohar Besar Raja-Raja, mencetuskan keadaan panik dan rasa tidak puas hati mereka yang belum bersedia menyiapkan juadah Raya serta peniaga bahan mentah.
Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah, menjelaskan pengumuman 1 Syawal jatuh pada 2 Mei disebabkan penampakan anak bulan pada salah satu lokasi yang diwartakan sebagai pusat mencerap anak bulan.
Sejurus selepas pengisytiharan Hari Raya itu, gambar dan video menunjukkan peniaga kelam-kabut menyiapkan barang untuk dijual dan pelanggan berpusu-pusu berbelanja dapur bertubi-tubi dimuat naik ke laman web dan akaun media sosial.
Bagi penjual lemang dari Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, Cik Norhayati Yahaya, pengumuman mengejutkan itu menyebabkan beliau tidak dapat meneruskan jualan lemang daun pisang pada 2 Mei kerana hendak menyambut Aidilfitri.
"Saya dan adik-beradik memang bercadang menjual 700 batang lemang untuk pelanggan walk-in pada hari Isnin dan membeli beras pulut tambahan pada hari itu untuk persediaan membakar lemang.
"Bagaimanapun, hasrat itu tidak tercapai kerana pengumuman Raya sehari lebih awal. Syukur alhamdulillah, kami dapat menyiapkan tempahan kira-kira 800 batang lemang dalam tempoh hingga 2 pagi.
"Sebenarnya, pada belah petang hari Ahad itu, saya sudah bertanya beberapa sahabat mengenai tarikh Raya dan ada antara mereka menyatakan mungkin hari Isnin kita sambut 1 Syawal.
"Jadi saya dan adik-beradik mengambil keputusan membakar lemang awal petang sebelum pengumuman dibuat. Sebaik saja pengumuman, saya menghubungi pelanggan yang sepatutnya mengambil pesanan pada hari Isnin supaya datang pada malam Ahad juga," katanya kepada Berita Harian.
Namun, seorang pekerja sebuah bank tempatan, Encik Rosli Ahmad, terpaksa membakar lemang sebaik saja selepas solat Hari Raya kerana tidak sempat beli santan dan beras pulut dek kebanyakan kedai sudah tutup pada malam Raya.
"Bertahun-tahun saya bakar lemang sehari sebelum Raya supaya lemang itu masih rasa segar semasa dimakan pada pagi Hari Raya. Bagaimanapun, kali ini saya tidak dapat berbuat apa-apa dengan kejutaan pengumuman yang membuat ramai orang panik dan tidak berpuas hati.
"Ini kali kedua saya melalui pengalaman sedemikian, selepas peristiwa negeri Perak beraya lebih awal dari negeri lain pada 1982, ketika saya berusia 15 tahun. Saya harap kejadian tahun ini tidak akan berlaku lagi, terutama pada era digital ini," ujarnya.
Seorang kakak sulung yang mengambil tempat ibu bapanya yang sudah meninggal dunia, Cik Asmahani Basharuddin, di Ipoh Hari Raya awal itu menyebabkan perjumpaan dengan adik-beradiknya terpaksa ditunda bagi menyesuaikan dengan keadaan.
Kakak lapan adik itu, yang kehilangan bapa Januari lalu, bercadang menemui adik-beradiknya pada hari ketiga Raya, iaitu hari ini, jika Aidilfitri pada Selasa.
"Kakak bercadang mula memasak pada pagi Isnin, tetapi terpaksa ke dapur sebaik saja pengumuman dibuat bahawa Hari Raya jatuh pada Isnin. Teruk juga kakak kerana seorang diri masak, tapi demi adik-adik gagahkan juga diri menyiapkan masakan hingga awal pagi," katanya.
Cik Asmahani bersyukur dapat bertemu adik-beradiknya sehari lebih awal dari tarikh asal meskipun masih terasa letih menyiapkan juadah Raya dalam keadaan mengejar masa selain menghadapi berbagai tekanan.
Suasana pada malam Raya itu serupa pada 12 Jun 1982, apabila Perak dan Johor menyambut Aidilfitri sehari lebih awal dari negeri lain di seluruh Malaysia.
Pada malam itu, orang ramai marah mengenai keputusan yang diambil dua negeri itu kerana semasa itu taraf kehidupan umat Islam, terutama di luar bandar, agak rendah untuk memiliki peti sejuk bagi menyimpan bahan mentah atau masakan lebih awal berbanding hari ini.
Berikutan peristiwa itu, beberapa langkah diambil oleh Majlis Raja-Raja dengan menyelaras pengumuman 1 Syawal menggunakan kaedah rukyah dan hisab dalam menentukan awal bulan hijrah, termasuk tarikh awal puasa, Aidilfitri dan Aidiladha, selaras dengan kehendak syarak dan mengikut kaedah ilmu falak serta astronomi yang dipersetujui semua negeri.
Berkaitan penentuan awal Syawal tahun ini, cerapan rasmi di seluruh negeri di Malaysia dilaksanakan di 29 lokasi pada petang 29 Ramadan, iaitu pada Ahad lalu.
Cerapan anak bulan dilakukan oleh Jawatankuasa Melihat Anak Bulan/Rukyah Negeri, yang dipengerusikan Mufti Negeri dan ahlinya terdiri daripada pakar falak, alim ulama serta pegawai Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Langkah yang diambil oleh kerajaan itu melegakan umat Islam selama 40 tahun, hinggalah keputusan 'mengejut' yang diambil tahun ini, yang menimbulkan panik dan rasa tidak puas hati mereka.

