PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia menyambut baik langkah kerajaan melaksanakan Perintah Sekatan Pergerakan (PKP) penuh selama dua minggu.
Beberapa warga Malaysia seperti Cik Mariana Zainal menyambut baik langkah itu selepas Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, memuatnaik kenyataan langkah PKP Penuh di Facebooknya.
"Alhamdulillah... Terima kasih banyak Dato' Sri... Semoga kita dapat putuskan rantaian Covid-19 dan boleh teruskan kehidupan seperti dahulu.. Kami rindu suasana yang dahulu.. Rindu kampung halaman.. Paling rindu mak abah," ujarnya di laman media sosial.
"Alhamdulillah syukur akhirnya Dato' Seri mendengar keluh resah rakyat, moga 'total lockdown' ini di buat secara betul-betul, mudah-mudahan Allah swt memelihara kita semua daripada wabak Covid-19 ini," pula kata Encik Isa Hj Mohamed.
Bagi Cik Norhidayah Mohd Aripin pula, langkah pelaksanaan PKP penuh menunjukkan kerajaan mendengar gesaan rakyat.
"Saya masih katakan ini kerajaan paling mendengar suara rakyat, walaupun tindakan agak lambat atas faktor yang rakyat tak ketahui. Tapi, tetap masih mendengar," katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menggesa orang ramai tidak cemas akan ketidakcukupan bekalan makanan, lapor Berita Harian Malaysia (BHM), semalam.
Ini kerana MAFI menganggarkan keperluan antara 100,000 hingga 150,000 tan beras dalam tempoh dua minggu pelaksanaan sekatan pergerakan penuh, yang bermula hari ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata jumlah itu termasuk sekiranya berlaku pembelian panik oleh orang ramai.
Menurutnya, bekalan beras itu dapat ditampung berdasarkan kedudukan stok beras semasa sebanyak 764,000 tan pada masa ini yang berada di peringkat pengilang, pemborong dan peruncit.
"Bagi memastikan bekalan dan pengeluaran beras berterusan dan tidak terganggu, MAFI akan memastikan proses penanaman dan operasi kilang padi serta beras dapat beroperasi pada kadar yang dibenarkan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
"Ini termasuklah kebenaran pengedaran input pertanian seperti baja, benih padi dan penggunaan jentuai di sepanjang tempoh berkenaan.
"Penanaman dan penuaian padi pada masa ini sedang berjalan di beberapa negeri antaranya Pulau Pinang, Perak, Pahang, Kelantan dan Terengganu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, MAFI berkata, pengedaran beras di peringkat pemborong dan peruncit juga dibenarkan untuk beroperasi mengikut SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan setiap pelosok daerah dan kawasan tidak terjejas dengan bekalan makanan utama itu.
Bagi stok semasa bekalan ikan negara pula, Ronald menganggarkan keperluan 185,000 tan sebulan ketika sekatan pergerakan penuh berbanding keperluan semasa sebanyak 155,000 tan.
Datuk Seri Ronald turut memaklumkan berdasarkan data bekalan komoditi, bekalan daging, ayam, telur dan susu turut mencukupi untuk keperluan negara.
"Untuk Jun ini, bekalan daging lembu dan kerbau dianggarkan sebanyak 22,590.58 tan, manakala bekalan daging ayam adalah sebanyak 125,067.61 tan.
"Bekalan telur ayam untuk Jun pula dianggarkan sebanyak 976,847,250 biji dan bekalan susu segar sebanyak 4,147,608.10 liter," katanya.
Tambahnya, bagi menjamin akses orang ramai terhadap keperluan bekalan makanan, MAFI turut membuka 43 lokasi Pasar Segar Terkawal (PST) di seluruh negara.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg