Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rakyat M'sia keluar mengundi hari ini

Barisan Nasional dicabar hebat PH, PN; masalah banjir, kematian seorang calon warnai pilihan raya
Nov 19, 2022 | 8:01 AM
BERATUR PANJANG: Rakyat Malaysia dilihat beratur di sebuah pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 di Bera, Pahang pada 19 November 2022.
BERATUR PANJANG: Rakyat Malaysia dilihat beratur di sebuah pusat mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 di Bera, Pahang pada 19 November 2022. - Mohd RASFAN

RAKYAT Malaysia keluar mengundi hari ini, menandakan kemuncak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang berlangsung di tengah-tengah musim tengkujuh, yang mana sesetengah rakyat berdepan masalah banjir.

Menjadi taruhan adalah 222 kerusi Parlimen serta 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri - Perak, Pahang dan Perlis - dan di DUN Bugaya, Sabah.

Selepas 14 hari mendengar pujuk rayu calon bertanding, kini giliran pengundi memberi kata putus bagi menentukan masa depan negara.

Bagaimanapun, pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah tidak diadakan hari ini dan ditangguhkan hingga ke 7 Disember - susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) yang bertanding di kerusi tersebut, Encik M Karupaiya, 69 tahun, yang meninggal dunia akibat serangan jantung Rabu lalu.

Lebih 21.1 juta pengundi layak mengundi dalam PRU15 ini, termasuk sekitar 1.4 juta pengundi berumur 18 hingga 20 tahun yang boleh mengundi buat kali pertama selepas kelayakan umur mengundi di Malaysia diturunkan daripada 21 kepada 18 tahun.

PRU15 ini disifatkan sebagai pilihan raya umum paling mahal - mencecah lebih RM1 bilion ($301.4 juta) - dan paling sengit dalam sejarah Malaysia - dengan seramai 945 calon bertanding bagi merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara itu.

Hampir kesemua kerusi berdepan pertembungan banyak penjuru, dengan kerusi Parlimen Batu di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hadapi saingan 10 penjuru.

PRU15 ini dianggap penting sebagai langkah mengembalikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang kukuh dan dapat membawa kestabilan sebagai jalan keluar bagi menamatkan kemelut politik yang berpanjangan di negara itu.

Menyusuli Pilihan Raya Umum pada 2018, rakyat Malaysia menyaksikan tiga perdana menteri bersilih ganti - Tun Dr Mahathir Mohamad (22 bulan); Tan Sri Muhyiddin Yassin (17 bulan); dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (14 bulan).

Menurut pemerhati politik, PRU15 ini juga penting kerana Malaysia akan memilih kerajaan yang akan mentadbir negara mengharungi badai ekonomi sedunia yang dijangka terus tidak menentu tahun depan, baik didorong keadaan geopolitik tidak mantap, sekitaran pasca-Covid-19 mahupun gangguan rantaian bekalan.

Selain Barisan Nasional (BN) yang dipengerusikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan PH yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, satu lagi gabungan utama di Semenanjung Malaysia yang memasuki gelanggang PRU15 ini ialah Perikatan Nasional (PN), yang dipimpin Tan Sri Muhyiddin.

Selain BN, PH dan PN, gagasan Gerakan Tanah Air (GTA) - yang dipimpin Dr Mahathir turut masuk gelanggang.

Debaran sama ada lamaran gabungan parti politik ini diterima atau ditolak bakal berakhir apabila keputusan dijangka diumumkan seawal malam ini. Namun, persoalannya ialah siapa yang bakal membentuk kerajaan selepas malam ini.

Meskipun yakin BN mampu peroleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen, Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri tetap tidak menolak kemungkinan membentuk kerajaan campuran.

"BN bertanding di 178 kerusi Parlimen dan seperti yang selalu disebutkan kepimpinan di peringkat Umno dan BN, kita mesti dominan. Kalau dapat 80 atau 90 kerusi Parlimen, lebih mudah untuk parti lain bersama kita. Sasaran kita kalau boleh melintasi 112 kerusi dan dapat membentuk kerajaan (BN)," ujarnya.

Sekitar Pilihan Raya Umum M'sia

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg